Dua hari yang lepas, untuk memenuhi jemputan rakan di
Plymouth, aku bersama rakan-rakan PhD menjamah nasi beriani di sini. Walaupun harganya agak mahal, namun ia masih dianggap berbaloi kerana ia memenuhi selera aku. Lokasi tidak jauh dari
University of Plymouth, hanya mengambil 10 minit untuk berjalan ke kedai tersebut. Untuk makluman, restoran ini merupakan restoran baru di sini dan sebelum ini, aku sebenarnya pernah menikmati makanan yang sama dengan harga yang agak murah, sekitar £6.

Walaupun ada diskaun 10% untuk pelajar, kami dikenakan 15% untuk cukai
Untuk nukilan kali ini, aku ingin berkongsi pengalaman mengenai
perbelanjaan bulanan bagi kebanyakan pelajar bujang yang melanjutkan pelajaran dalam program lepasan ijazah di Plymouth, United Kingdom. Perbelanjaan ini mungkin boleh menjadi panduan kepada mereka yang berhajat untuk melanjutkan pelajaran di sini. Ia khas untuk pelajar bujang sahaja, kerana perbelanjaan untuk keluarga agak berbeza dan aku tidak mampu untuk kongsi bersama.
Untuk elaun, pada ketika sisipan ini ditulis, disebabkan Plymouth City dikategorikan sebagai kawasan berkategori C, maka pelajar lepasan ijazah yang melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana dan doktor falsafah akan diberi sebanyak
£748. Berbeza dengan pelajar di sekitar
London (Kawasan A) dan
Guidlford (Kawasan B), masing-masing menerima
£1093 dan
£920. Jika hendak dibandingkan dengan London dan Guildford, sepanjang aku di sini, aku rasa dengan nilai £748, aku mampu untuk berbelanja dengan baik tanpa menggunakan sebarang sumber kewangan lain dari Malaysia. Walaupun aku masih lagi dibayar gaji di Malaysia, aku bersyukur kerana buat masa ini aku tidak lagi menyentuhnya untuk perbelanjaan aku di sini.
Sebagai seorang yang tidak berkeluarga, dengan nilai elaun sebanyak £748, aku mampu membayar sewa bilik dan perbelanjaan harian yang lain. Di sebalik elaun yang di anggap rendah oleh kebanyakan pelajar di sini, aku masih bersyukur kerana harga bilik di sini agak berpatutan berbanding tempat lain seperti di London. Namun, jika hendak dibandingkan dengan harga bilik di sekitar
Midlands,
Nottingham dan
Manchester, harga di sini boleh dikategorikan sebagai mahal, kerana di sini aku terpaksa membayar separuh dari elaun aku hanya untuk sewa bilik dan utiliti (elektrik, internet, air dan gas). Menurut rakan aku yang penah tinggal di kawasan Nottingham, dengan harga £350 yang dibayar oleh aku untuk sebuah bilik di sini, aku mampu menyewa sebuah rumah satu bilik di sekitar Nottingham atau Manchester.

Nasi Ayam Kabsa (£8)
Untuk membezakan perbelanjaan di sini berbanding Malaysia, aku gunakan tiga perkara asas sebagai perbandingan iaitu telefon bimbit, kereta dan makanan. Pertamanya, pensyarah di
Malaysia dibayar di sekitar RM3000-RM4000, manakala
pensyarah di sini dibayar sekitar £2000-£3000. Jika dibandingkan dengan nilai kita boleh katakan bahawa nilai pensyarah di sini besar, tetapi untuk harga makanan, sebenarnya ia sama. Sebagai contoh, sebotol air mineral, kita boleh beli dengan harga sekitar RM1-RM2 di Malaysia dan £1-£2 di UK. Sehidang makanan segera seperti
KFC dan
McD, di Malaysia kita boleh dapat dalam sekitar RM8-RM10, manakala di UK, untuk hidangan yang hampir sama, aku lihat harganya sekitar £8-£10 (aku tidak pernah membeli, oleh sebab itu aku tidak tahu rasanya sama atau tidak). Dari segi nombor, harga makanan di sini sama dengan harga di Malaysia.
Namun, berbeza dengan telefon bimbit, rata-rata rakyat
Malaysia perlu membelanjakan 100% gaji mereka untuk membeli telefon bimbit, malah ada yang terpaksa menunggu lebih dari 1 bulan. Sebagai contoh tadi, pensyarah di Malaysia perlu membelanjakan 100% duitnya untuk mendapatkan sebuah telefon bimbit terkini, tetapi pensyarah di sini hanya perlu mengeluarkan 25% duit gaji mereka untuk mendapatkan telefon bimbit yang sama. Ya, harga
telefon bimbit di sini murah, tetapi perlu diingatkan, perbezaan 75% kuasa membeli antara pensyarah di sini dan Malaysia menunjukkan kuasa membeli mereka tinggi.

Kari kepala Ikan, dimasak oleh Zarul. Sekilo ikan £10.
Manakala untuk sebuah kereta, untuk mendapatkan kereta berjenama
BMW, pensyarah di sini perlu membayar sebanyak £30K++ untuk mendapatkan kereta mewah, tetapi di Malaysia, dengan hanya RM30K++, aku tidak pasti apa jenis kereta yang mampu dipakai oleh mereka kerana untuk harga sebuah Wira, pensyarah di Malaysia terpaksa membayar hampir RM50K++. Ini bermakna kuasa pembeli pensyarah di Malaysia amat jauh berbanding dengan kuasa membeli pensyarah di sini.

Aktiviti masak-masak di Plymouth. Tukang masak
En. Zarul. Harga tanya tuan punya badan :)
Jika hendak dibandingkan perbelanjaan di Malaysia dengan di sini, pada pendapat aku, di Malaysia aku mampu untuk membeli
makanan dengan murah tetapi tidak mampu untuk hidup selesa seperti di UK. Untuk mendapatkan sebuah kereta BMW, aku terpaksa membayar sehingga
RM180K++ dan 100% gaji untuk sebuah telefon bimbit. Apa pendapat anda?
Di sebalik kuasa membeli yang besar, aku
bersyukur menjadi rakyat Malaysia, kerana Malaysia mempunyai banyak perkara yang tiada di UK. Aku rasa cukup untuk sisipan kali ini, aku akan sambung untuk sisipan akan datang. Banyak pertembungan budaya yang berlaku di sini, dan insya-Allah, jika diberi peluang aku akan kongsi bersama.