Live feed from My Flickr

Saturday, December 17, 2011

Saraan Baru Perkhidmatan Awam - SBPA : Pensyarah (DS)


Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 11 Tahun 2011
  1. Setelah hampir 10 hari sejak Pekeliling mengenai SBPA dikeluarkan baru semalam aku mendapat maklumat mengenai Jadual Gaji Sebaris (JGS) untuk Skim Perkhidmatan Pensyarah (DS). Kepada yang belum membaca tentang perkara tersebut boleh lihat pada catatan aku yang lepas [SBPA].
  2. Seperti yang semua tahu Lampiran C telah diklasifikasikan sebagai SULIT dan TERHAD. Oleh yang demikian maklumat mengenainya agak susah untuk diperolehi.
  3. Walaubagaimanapun aku mendapat maklumat selepas taklimat mengenai SBPA di salah satu IPTA tempatan. Dari maklumat tersebut berikut adalah JGS bagi Skim Perkhidmatan Pensyarah (DS) [Jadual Gaji]. Aku menjana JGS berdasarkan matagaji T1 dengan pergerakan gaji tahunan Gred 54  (RM320), 52 (RM290) dan DS 45 (RM255/RM260) - (22.12.2011 - disahkan sama dengan Lampiran C).
Skim Perkhidmatan Pensyarah (DS)
  1. JGS yang terbaru untuk Skim Perkhidmatan Pensyarah di SBPA telah dinaiktaraf berbanding SSM. 
  2. Jika dahulu dengan SSM, Skim DS merupakan skim yang paling sedikit dari segi matagaji. Catatan sebelum ini oleh penulis uthmdehati, Mat Kedah dan catatan lama aku, jelas menunjukkan SSM menganaktirikan Skim DS.
  3. Walaubagaimanapun, jika dibandingkan dengan perkhidmatan lain (setakat ini aku cuma ada DS, DG dan F) aku dapat lihat peningkatan yang amat ketara dalam Skim DS seperti dijadualkan dalam gambaran dibawah. Setelah lama DS dipinggirkan, aku rasa peningkatan ini memberi nafas baru kepada semua pensyarah.
  4. JGS terbaru nampak sekata bagi tiga perkhidmatan dengan permulaan matagaji lebih RM5000 dan RM7000 bagi Gred 52 dan 54.
  5. Untuk pemindahan gaji dari SSM ke SBPA bagi Gred DS45 ke DS1-3 [Pemindahan DS45], Gred DS52 ke DS1-5 [Pemindahan DS52] dan DS54 ke DS1-6 [Pemindahan DS54]. Implikasi ketara dalam pemindahan gaji adalah sama dengan skim yang lain seperti dalam catatan sebelum ini; iaitu mengenai pengjumudan matagaji disebabkan penggunaan "bracketing". 
  6. Secara purata bagi pemindahan Gred DS52 ke DS1-5, kenaikan matagaji adalah sebanyak 7.71% atau sebanyak RM408.55. 
  7. Secara purata juga, kenaikan sebanyak 13.04% atau RM698.55 dari matagaji asal dalam SSM selepas Pergerakan Gaji Tahunan (PTG) bagi gred DS1-5 pada tahun 2012

Kesimpulan
  1. Terima kasih kepada kerajaan kerana membuat penyemakan dan memperkenalkan skim gaji baru kepada pensyarah IPTA yang sekian lama telah terpinggir.

Thursday, December 08, 2011

Saraan Baru Perkhidmatan Awam - SBPA : Teknologi Maklumat (F)


Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 11 Tahun 2011
  1. Pekeliling baru dikeluarkan pagi tadi. Semua penjawat awam yang sebelum ini tertunggu-tunggu pekeliling ini dapat membacanya. Aku pun tak terkecuali. 
  2. Kepada yang belum membaca, sila muatturun dari laman web JPA.
  3. Semua maklumat boleh didapati dari laman web tersebut. Cuma sedikit kecewa bila Lampiran C tidak dilampirkan dalam perkeliling itu. Lampiran C ini penting kepada semua penjawat awam kerana ianya melampirkan jadual gaji terbaru - Jadual Gaji Sebaris (JGS).
  4. Ralat. Aku pun masih tidak pasti kenapa Lampiran C ini tidak di umumkan dalam laman web terbabit. Kadang-kala aku terfikir - acapkali kerajaan melaungkan ketelusan, masih terdapat pekara yang tidak telus. Pada aku Lampiran C ini BUKAN di bawah kategori rahsia rasmi dan tidak salah jika ianya di lampirkan bersama dengan Pekeliling terbabit. Sekurang-kurangnya penjawat awam dapat menilai dan menganalisa sebelum menandatangani borang pilihan SBPA nanti.
  5. Banyak perkara yang dibincangkan dalam pekeliling terbabit cuma aku lebih tertarik untuk membincangkan pemindahan gaji dari SSM ke SBPA.
Skim Perkhidmatan Teknologi Maklumat (F)
  1. Disebabkan JGS tidak dilampirkan. Aku muat naik Jadual Gaji Sebaris bagi perkhidmatan Teknologi Maklumat (F). [Sila Muatturun]
  2. Setelah aku amati dari Gred 41 - 54, aku dapati paling beruntung adalah Gred 54. Untuk perbandingan, aku bandingkan semua gred F41 sehingga 54 berdasarkan gaji baru dan gaji lama. Penggiraan ini dibuat berdasarkan perkara No. 33 dalam pekeliling.
  3. Berdasarkan maklumat yang sedia ada berikut adalah ringkasan mengenai pemindahan gaji. [Perbezaan Gaji: Versi 1]. Jika terdapat kesalahan dari segi pengiraan, bermakna semua analisis dibawah adalah SALAH [Harap dapat maklumkan kepada aku - aku tiada Lampiran C untuk contoh pengiraan]. 
  4. Untuk perbezaaan dengan jadual gaji SSM. Sila rujuk [Jadual gaji SSM]
  5. Kedua dua versi ini mempunyai implikasi berbeza. 
Analisa Ringkas (Berdasarkan Slide dan Video)
  1. Secara purata peratus kenaikan gaji bagi skim ini F54 (20.55%), F52 (6.31%), F48 (7.67%), F44 (8.83%) dan F41 (9.86%).
  2. Secara purata kenaikan gaji (RM) bagi skim ini selepas pemindahan gaji dari SSM ke SBPA  F54 (RM1174), F52 (RM351), F48 (RM384), F44 (RM306) dan F41 (RM210).
  3. Secara perbandingan peratusan kenaikan gaji tertinggi adalah bagi Gred F54 P1T1 sebanyak 35.12% dan terendah adalah Gred F52 P1T3 dengan 4.21% sahaja.
  4. Secara perbandingan kenaikan gaji tertinggi adalah bagi Gred F54 P1T1 sebanyak RM1844 dan terendah adalah Gred F41 P1T5 dengan RM119 sahaja. 
  5. Bagi kakitangan Gred F54 jika dilihat semua akan mendapat gaji yang sama pada 1 Januari 2012. Sebagai contoh F54 P1T1 bergaji RM5251 pada 2011 akan mendapat RM7095 pada 2012 kenaikan lebih kurang 35%. Berbeza dengan F54 P1T7 bergaji RM6606 akan mendapat gaji yang sama RM7095 pada 2012 dengan kenaikan cuma 7.40%. Ini bermakna penjawat awam lama dan baru adalah sama dari segi matagaji. Nampak kurang adil pada penjawat awam F54 P1T7. Perkara ini juga terjadi dalam gred yang lain.
  6. Kenaikan gaji dalam gred yang sama adalah berbeza dari segi peratusan. Sebagai contoh F41 P1T1 mendapat kenaikan sebanyak 13.74% berbeza dengan F41 P1T4 yang cuma 9.71%.  Ini bermakna kakitangan yang baru bekerja mendapat kenaikan tinggi berbanding pekerja yang masuk setahun awal. 
  7. Terdapat juga kes dimana PA senior akan mendapat gaji yang saya pada tahun 2012. Sebagai contoh, PA F41 pada P1T4 dan P1T5 akan mendapat gaji yang sama. Adalah kesan daripada nilai terhampir pada SBPA (*rujuk bracketing) . Walaupun begitu, PA P1T5 akan mendapat kenaikan tahunan lebih awal beberapa bulan berbanding PA P1T4 seperti dalam jadual. Keadaan ini sedikit menyedihkan apabila PA senior yang sebelum ini 2 tahun lebih awal dari PA junior menjadi kurang kepada hanya beberapa bulan.
  8. Selepas Pergerakan gaji tahunan, rata-rata PA akan mendapat kenaikan lebih 10% kecuali PA F52 P1T7 dan P1T3.
  9. Kenaikan bagi JUSA adalah tertinggi berbanding semua PA. Seperti dalam jadual purata kenaikan adalah RM5514 atau 71%.
Aku rasa banyak lagi perkara yang aku boleh kupas dari analisis ringkas yang aku buat ini. Aku rasa cukup la kupasan aku. Kalau nak tahu perbezaan lain. Sila muatturun dua lampiran-lampiran diatas dan buat perbandingan sendiri.
Kesimpulan
  1. Terima kasih kepada kerajaan kerana membuat penyemakan dan memperkenalkan skim gaji baru.
  2. Aku masih tiada Lampiran C untuk Skim Pensyarah (DS) dan masih mencari. Tetapi aku dapat info dari taklimat di IPTA semalam dan aku catatkan di sini.

Monday, September 26, 2011

'Jailbreak' iPhone, iPod, iPad - Keburukan


Soalan yang sering aku terima, adakah selamat meng-'jailbreak' iDevice seperti iPhone, iPad dan iPod. Untuk mengetahui keburukan meng-'jailbreak'. Sila baca ulasan aku. 

  1. Keselamatan. Apabila telah di'jailbreak', masalah utama timbul adalah masalah keselamatan. Terutamanya ia terdedah kepada pencurian maklumat secara 'remote'. Dalam keadaan tertentu, kata laluan asal yang digunakan tidak ditukar membolehkan penceroboh memasuki iDevice anda melalui SSH. Walaupun SSH tidak diaktifkan, kebarangkalian maklumat anda dicuri tetap ada.
  2. Tiada Penyulitan. Tahukah bahawa kebanyakkan maklumat yang disimpan dalam iDevice tidak disulitkan (NOT encrypted). Bermakna, semua maklumat disimpan dalam bentuk text asal, atau dalam kata mudah, BOLEH DIBACA DAN DIFAHAMI tanpa menggunakan sebarang perisian lain. Untuk kepastian, cuba dapatkan satu fail dalam directory ini. /var/mobile/Library/SMS/sms.db (ini adalah fail yang menyimpan kandugan SMS dalam iPhone) - cuba buka fail tersebut menggunakan SQLite. Perkara yang sama boleh diperolehi dari fail-fail yang menyimpan data seperti maklumat SMS, MMS, gambar, whatsapp dan lain lain. Bayangkan jika semua ini diperolehi dengan mudah?
  3. Tidak stabil. Kebanyakkan iDevice yang di'jailbreak' mengalami masalah ketidakstabilan. iDevice terpaksa di mulakan semula (samaada respring atau reboot). Ini menimbulkan masalah kepada penguna iDevice biasa. Tetapi dalam banyak kes, ketidakstabilan ini adalah dianggap minor oleh pengamal jailbreak.
  4. Bateri. Ketahanan bateri berkurang selepas di'jailbreak'. Isu ini adalah isu umum dan diakui oleh pengamal jailbreak. Ini juga adalah kesan dari ketidakstabilan aplikasi yang digunakan apabila pengguna telah meng-'jailbreak' iDevice mereka. Sebagai contoh penggunaan 'theme' dan aplikasi winterboard.
  5. Jaminan atau (warranty). iDevice yang telah di'jailbreak' akan HILANG jaminannya. Walaubagaimanapun ia masih boleh dikembalikan kepada keadaan asal dan dalam banyak kes ia masih terJAMIN.
  6. Apps. Ramai pengguna iDevice melaporkan tentang kesusahan menggunakan app selepas di'jailbreak'. Sama seperti ketidakstabilan iDevice, perisian juga tergangu. Sebagai contoh, pengguna melaporkan KEGAGALAN penggunaan Paypal dalam Apps tertentu.
  7. Masalah kemaskini. Apabila terdapat perisian atau firmware yang baru dikeluarkan oleh Apple, pengguna yang telah men'jailbreak' perlu mengelakan proses pengemaskinian kerana iDevice perlu di'jailbreak' semula. Ini bermakna, jika terdapat perisian baru dari Apple, iDevice tidak dapat dikemaskini dengan mudah. Kecuali, ianya dikemaskini dan dijailbreak semula.
  8. Jailbreak != App Percuma. Secara sah, dengan menjailbreak iDevice, ia tidak bermakna iDevice boleh menggunakan perisian percuma. Apps perlu dibeli juga. Kecuali jika tidak hiraukan masalah 'piracy'.
Jailbreak memang menarik, cuma pertimbangkan keburukan ini dahulu sebelum menghilangkan 'dara' iDevice. Selamat mencuba. :) 

Sebagai contoh, ini adalah antara masalah yang selalu dialami oleh pengguna iDevice yang telah di'jailbreak'


Kredit kepada Apan, Mizal, Yam dan warga iOS atas input kalian.

Pensyarah IPTA - Realiti yang perlu diketahui


Bercita-cita menjadi pensyarah selepas tamat pengajian? Nilai isu-isu berikut sebelum membuat keputusan, ada kelebihan dan tidak kurang juga banyak kekurangan. 
  1. Tugas hakiki. Ini mesti tahu, di antara tugas yang perlu dilakukan oleh pensyarah termasuklah pengajaran, penyelidikan, penulisan untuk penerbitan (jurnal atau persidangan), penyeliaan pelajar, khidmat nasihat, pentadbiran, menghadiri seminar tahunan dan lain-lain tugas yang diberikan oleh Universiti. Banyak, tetapi yang paling penting adalah 3 tugas pertama yang mana ia akan membantu kenaikan pangkat. Yang lain kurang penting, tetapi tiada pilihan, kena buat jugak.
  2. Gaji dan Emolumen. Skim pensyarah bermula dengan DS45 , kemudian boleh dipertimbangkan ke gred DS52, DS54, Khas C, Khas B, Khas A dan Turus yang lain. Skala gaji, boleh rujuk dari laman web sini [1]. Dibandingkan dengan skim lain, skim ini tiada gred 48. Selain dari gaji, ada juga elaun-elaun lain yang dibayar, jumlah minima RM1300 bagi pensyarah baru di gred DS45. Bagi pensyarah perubatan, ada tambahan lain; sila lihat sini untuk elaun-elaun tambahan [2]. Untuk perbandingan skim lain seperti PTD, aku penah bincangkan di sini [3]. Jika dibandingkan dengan gaji pensyarah di IPS, memang jauh berbeza.
  3. Cuti. Seperti skim lain dalam perkhidmatan awam, skim perkhidmatan pensyarah aku rasa antara paling banyak cuti termasuk cuti tahunan, cuti belajar sabatikal, cuti belajar dan cuti persidangan. Ikut perkiraan aku, cuti untuk pensyarah lebih banyak berbanding cikgu sekolah; walaupun cikgu ada CUTI Sekolah, sebilangan besar guru perlu hadirkan diri kesekolah juga pada musim cuti sekolah.
  4. Kenaikan pangkat. Walaupun peluang kenaikan pangkat nampak mudah, iaitu terus ke gred 52 dan hanya berdasarkan merit, berbeza dengan perkhidmatan lain yang kebiasaannya menunggu kekosongan jawatan. Tambahan pula kenaikan pangkat TIDAK mengikut seniority, sebagai contoh, gred DS45 boleh dinaikkan kepada Profesor (gred Khas C) atau Profesor Madya (DS54) terus jika layak, tanpa melalui tangga gred biasa. Walaubagaimanapun, kenaikan pangkat adalah berbeza antara IPTA. Ada IPTA yang mengenakan syarat ketat dan ada juga IPTA menggunakan syarat kurang ketat. Sebagai contoh, ada IPTA mengenakan syarat penerbitan jurnal ISI, dan ada juga hanya menunggu 3 tahun. Isu kenaikan pangkat ini banyak diperbincangkan, cuma pada aku, selagi kita penuhi kehendak Universiti, insyallah peluang itu mudah berbanding skim lain.
  5. Kepentingan Ilmu. Paling penting dalam skim perkhidmatan ini, keperluan pembelajaran berterusan untuk menambah dan memperkukuhkan ilmu. Bukan untuk pengajaran sahaja, malahan perlu untuk penyelidikan dan jugak khidmat nasihat. Berbanding dengan pengajar di sekolah, pensyarah perlu mengemaskini maklumat hampir setiap hari, maka, skim ini BUKAN pilihan yang sesuai bagi individu yang tidak minat membaca.
  6. Peluang keluar negara. Skim ini juga menawarkan peluang ke luar negara ditanggung Universiti dalam tempoh-tempoh tentu. Berbanding skim lain, pensyarah agak mudah mendapat peluang seperti ini. Pertama, pensyarah dapat membentangkan kertas penyelidikan dalam tempoh perkhidmatan (2-7 hari bergantung kepada persidangan). Kedua, pensyarah diberikan peluang untuk membuat sabatikal selama 6 - 9 bulan bergantung kepada tahun perkhidmatan (diberikan dalam jangka masa 3-5 tahun sekali). Ketiga, juga diberi peluang kepada pensyarah untuk membuat post-doc yang selalunya mengambil masa 2-3 tahun. Sepanjang keluar negara, elaun tambahan akan diberikan selain dari gaji pokok di Malaysia.
  7. Kemudahan penyelidikan. Bagi yang berminat untuk membuat penyelidikan bergeran. Universiti penyelidikan seperti UM, UKM, UPM, USM dan UTM memberi peluang yang besar kerana terdapat peruntukan khas dari kerajaan. Walaupun demikian, pensyarah perlu memohon untuk mendapatkannya. BUKAN kasi FREE :). Walaupun terpaksa diakui, geran yang diperuntukkan kecil berbanding universiti antarabangsa, sekurang-kurangnya diberikan peluang. 
  8. Cabaran pengajaran. Selain dari kelebihan yang diperolehi, aku ingin kongsikan pengalaman pengajaran, terutama mengajar di peringkat Sarjana yang umum tahu kebanyakkan mereka adalah pekerja dari Industri. Sukar tapi adakala menyeronokan. Bagi pengajaran diperingkat sarjana muda pula, agak mudah berbanding sarjana, cuma kita perlu siapkan pelajar untuk industri, dan ia bukan perkara yang mudah - tambahan pula ada ketika perlu berhadapan dengan pelajar yang 'tercampak' ke fakulti yang kita mengajar.  Yang penting, pensyarah perlu lengkap kan diri supaya nampak ketinggian nilai ilmu berbanding pelajar.
  9. Waktu kerja. Agak menarik dalam skim ini, tiada waktu kerja yang khas, tidak perlu datang tepat jam 8.30 dan balik pukul 5.30. Yang penting, pengajaran dilakukan, penyelidikan di teruskan dan menjalankan tugas hakiki yang dipertanggungjawabkan. Ia memberi ruang yang cukup untuk pensyarah yang menjalankan penyelidikan. Ramai rakan pensyarah yang kekal menjadi pensyarah kerana waktu bekerja yang fleksibel ini, walaupun ramai sedia maklum gaji kurang berbanding dengan bekerja di swasta.
  10. Pilihan universiti. Yang ini juga penting, pilih universiti mengikut kekuatan anda. Ada universiti bertaraf APEX, Universiti Penyelidikan dan lain-lain. Setiap universiti mempunyai peraturan mereka sendiri. 
  11. Akhir sekali, yang paling penting pada aku. Bagi orang islam, ilmu yang diajar kepada orang lain dan dimanfaatkan itu tidak akan putus pahalanya. 
Itu sahaja yang aku dapat kongsikan, insyallah, ada masa aku tambah lagi. Kepada yang berminat, teruskan usaha untuk mendapatkan PhD dan seterusnya bergelar pensyarah. Banyak cabaran lain, yang aku rasa ia perlu dilalui sendiri, terutamanya pada peringkat menyiapkan sebuah PhD. 


Friday, September 23, 2011

Facebook - Perkongsian dan Kerahsiaan yang menakutkan


Umum ketahui bahawa banyak perubahan yang berlaku dalam lawan sosial seperti Facebook dan Google+. Namun, apa yang dikuatiri pengguna laman sosial tersebut adalah tahap kerahsiaan dan perkongsian. Pembaharuan yang dilancarkan oleh laman sosial tersebut telah memberi peluang kepada orang 'awam' untuk mengetahui siapakah anda atau dengan lebih tepat lagi, pergerakan anda dalam laman maya. Memburukkan keadaan lagi, bila mana ada segelitir pengguna mengambil kesempatan ini untuk memudahkan mereka 'mengendap' (stalking). Oleh yang demikian, untuk mengurangkan masalah yang dihadapi, aku suka untuk berkongsi ilmu tentang dua perkara 'perkongsian' dan 'kerahsiaan'.

Umum - Apa yang anda perlu tahu
  1. Laman web sosial. Perubahan dari masa ke semasa memudahkan pengguna untuk berkongsi apa sahaja dengan dunia. Dalam erti kata lain, makin ramai anda mempunyai rakan yang menggunakan laman web sosial, makin terdedah anda kepada dunia.
  2. Perkongsian Umum. Perlu diketahui, sebaik sahaja anda memuatnaik (upload) hal peribadi anda di laman sosial, ianya akan dianggap umum melainkan anda mengawalnya diperingkat awal dengan mengklasifikasikan maklumat anda.
  3. Asas Kerahsiaan. Dua faktor lain yang mengimbangi kerahsian anda; a. Kesediaadaan - di rujuk sebagai sejauhmana maklumat ada boleh dikongsi dan berada di Internet - lagi ramai dapat mengakses maklumat yang dikongsi, lagi lama maklumat anda akan berada di Internet untuk tatapan umum, dan b.integriti - dirujuk sebagai sejauhmana maklumat anda boleh diubah - sebaik sahaja maklumat anda dikongsi, ia boleh diubah oleh pihak ketiga. Tiga perkara - kerahsiaan, kesediaadaan, dan integriti adalah bergantung satu sama lain.
  4. Klasifikasi Perkongsian. Dibahagi kepada tiga kumpulan utama; awam, rakan, dan individu. (a). Awam (public) - semua orang boleh melihat maklumat anda tanpa halangan. (b). Rakan - hanya rakan anda sahaja boleh melihat, juga boleh dilanjutkan kepada rakan yang lain (rakan kepada rakan anda) dan (c). Individu - hanya individu tertentu boleh melihat, atau anda sendiri. Rujuk [1] untuk memahami konsep klasifikasi perkongsian.
  5. Pewarisan Perkongsian. Ramai yang tidak ketahui tentang ini, perlu diingatkan bahawa, setiap klasifikasi perkongsian yang ditetapkan oleh individu, akan diwarisi kepada individu lain. Cth: jika rakan anda berkongsi maklumat dengan klasifikasi public, jika anda membuat sebarang aktiviti (komen atau like) pada maklumat tersebut, anda sebenarnya mewarisi perkongsian itu; maka aktiviti anda pada maklumat terbabit adalah diklasifikasi sebagai umum juga dan ianya terdedah.
Kawalan anda - Apa yang anda perlu lakukan?
  1. Klasifikasi Maklumat Anda. Kenalpasti klasifikasi maklumat anda sebelum anda lepaskan ia kepada umum; dalam erti kata lain, semak klasifikasi anda dahulu. Jika anda hanya mahukan anda dan rakan-rakan anda melihat, pilih sepatutnya. 
  2. Kenalpasti Klasifikasi maklumat pengguna lain. Sebelum anda melakukan aktiviti samaada komen atau 'like' pada sebarang maklumat, kenalpasti klasifikasi maklumat tersebut. INGAT: Pewarisan Perkongsian. Jika maklumat tersebut adalah umum, maka, komen anda akan diketahui umum juga :).
  3. Maklumat Umum. Jika anda merasakan bahawa aktiviti yang hendak dilakukan adalah bersifat 'privasi'; elakan dari membuat sebarang komen atau 'like' pada sebarang maklumat umum. Ini termasuk laman page, laman blog dan laman yang berkaitan dengan jenama; yang selalunya diklasifikasikan sebagai UMUM atau PUBLIC. 
  4. Pembahagian kumpulan. Untuk berkongsi dengan orang tertentu sahaja, anda digalakan untuk membuat klasifikasi sendiri (custom). Sebaiknya, kumpul kan rakan-rakan anda dalam satu kategori yang sama bagi memudahkan anda membuat perkongsian. 
  5. Gambar. Mengklasifikasikan perkongsian gambar sama seperti maklumat lain, oleh yang demikian, pastikan anda berkongsi dengan orang yang anda kenali sahaja. INGAT: Walaupun anda menghadkan perkongsian tersebut kepada kumpulan yang terhad, ia masih boleh dikongsi oleh orang lain kepada umum. ELAKAN memuatnaik gambar yang tidak sepatutnya.
  6. Label atau Tanda (Tag). Sama seperti gambar, klasifikasi label atau tanda dari pengguna lain juga akan diwarisi. Jika anda dilabel (tagged), maka anda didedahkan kepada klasifikasi individu yang melabel anda. Sebaiknya, anda perlu kawal siapa dan apa yang boleh dilabelkan.
  7. Fahami tentang perkongsian dan privasi di laman facebook [2].
Kesimpulan
  1. Laman sosial memberi peluang anda untuk berkongsi, tapi setiap perkongsian perlu dibayar dengan harga yang tinggi. Apabila anda berkongsi maklumat anda, ianya boleh dikongsi dengan orang lain.
  2. Kawal perkongsian anda kerana apa yang anda kongsi akan mengambarkan anda. Keghairahan untuk berkongsi cerita perlu seiring dengan sikap berhati-hati.
  3. Umum, juga bermaksud awam, bermaksud semua orang; bukan terhad di kawasan anda sahaja, malahan satu dunia. Oleh yang demikian, tindakan anda untuk berkata, memberi pandangan, menyukai, berkongsi tentang sesuatu maklumat, perlu dilihat apa klasifikasi maklumat tersebut - samaada milik anda atau milik orang lain kerana ia diwarisi. 
  4. Anda bertanggungjawab dengan semua maklumat yang anda kongsikan.

Thursday, September 22, 2011

Sains Komputer dan Jurutera

Sains Komputer dan Jurutera. Aku nak kupaskan sedikit mengenai bidang ini, namun aku mengfokuskan kepada 'Jurutera' rangkaian, sistem dan perisian, yang jarang orang kenali selain dari bidang utama jurutera awam, mekanikal, electrik dan kimia. 

Umum
  1. Semua orang sedia maklum, jurutera dirujuk sebagai "orang yg terlatih dlm mereka, membuat, dan menggunakan (menjaga) jentera atau terlatih dlm mana-mana cabang kejuruteraan".
  2. Acapkali kita mendengar jurutera-jurutera ini bergaji besar dan secara umum kita tahu ada beberapa bidang utama termasuk awam, mekanikal, electrik dan kimia.
  3. Umum masih kurang jelas (ada juga yg tidak tahu) tentang wujudnya istilah jurutera rangkaian, sistem dan perisian yang selalunya dihasilkan oleh bidang berteraskan Sains Komputer.
Pandangan Umum yang kurang tepat
  1. Ramai ibu-bapa berpendapat, jika anak mereka ditempatkan di Fakulti Sains Komputer atau berkaitan, akan hanya mempelajari pekara-pekara asas komputer. 
  2. Ada juga yang menyatakan fakulti ini tidak punya masa depan kerana lambakan pelajar bidang sains komputer di pasaran tanpa kerja.
  3. Rata-rata pelajar juga tidak mahu memilih bidang sains komputer kerana beranggapan bidang ini terlalu umum dan tidak sehebat Awam, Elektrik, Kimia dan Mekanikal.
  4. Pelajar pula dimomokkan dengan kata-kata umum seperti "a. jika belajar sains komputer korang akan belajar microsoft word; aku yang tak belajar sains komputer pun tahu guna", "b. ala setakat guna Adobe photoshop, aku dah boleh guna masa tingkatan 1", "c. Wifi? umah aku ade wifi, aku yg baiki sendiri","d. nak buat website? aku pun boleh buat dah; setakat HTML, PHP, dan database? aku dah tahu?" dan "e. sepupu aku dulu amik sains komputer, susah dapat keje, internet rumah problem pun dia tak tahu baiki"..dan lain lain lagi yang memperlihatkan Sains Komputer ini tiada apa-apa selain dari mempelajari tentang perkara umum yang semua orang mesti tahu. 
  5. Pelajar memilih sains komputer sebagai pilihan terakhir jika tidak mendapat tempat di bidang kejuruteraan utama.
Sebenarnya
  1. Istilah jurutera rangkaian, sistem dan perisian telah lama wujud; kesan dari era baru dalam dunia komunikasi dan komputer. 
  2. Banyak istilah digunakan untuk mengambarkan individu yang terbabit secara langsung atau tidak dalam dunia pengkomputeran ini, termasuk "network engineer", "network administrator", "network analyst", "software engineer", "system engineer" dan lain lain istilah, kalau aku tulis tak cukup pulak ruang ni. 
  3. Individu yang terbabit dalam dunia rangkaian dan pengkomputer bukan sahaja membangun kan perisian komputer, malah menjaga, mengkonfigurasi, mengawal semua perkakasan dan perisian yang ada. 
  4. Kata-kata umum yang mempelekehkan bidang ini adalah kerana kurang faham tentang apa yang dipelajari oleh pelajar sains komputer, maka pelajar perlu bertanya kepada orang yang mahir dalam bidang ini tanpa merujuk kepada individu yang tidak menceburi bidang ini. Sama seperti bidang lain, jika pelajar TIDAK menguasai ilmu komputer, peluang untuk bekerja dalam bidang ini adalah sangat tipis. Oleh yang demikian, kuasai dunia pengkomputeran dengan baik dan bezakan dengan individu-individu yang diluar sana. 
Kelebihan
  1. Selesa berbanding bekerja di lapangan. Jika umum tahu, bidang utama seperti awam dan elektrik memerlukan jurutera bekerja di lapangan yang terdedah kepada bahaya seperti kawasan pembinaan, bangunan tinggi dan sebagainya. Namun untuk jurutera berteraskan komputer seperti jurutera rangkaian, umum ketahui semua perkakasan melibatkan komputer (cth: router, switch, server) berada dalam bilik berhawa dingin dan boleh dikawal secara jauh (remote); maka mereka lebih selesa berbanding jurutera lain. 
  2. Skala gaji. Bedasarkan carian dalam Jobstreet, skala gaji bagi bekas graduan dalam bidang-bidang berikut adalah seperti berikut (menggunakan kata kunci berikut dan gaji purata): network - RM2300, software - RM2500, electrical - RM1900, civil - RM2000, mechanical - RM2300 dan chemical - RM2500.00. Kesimpulan, rata-rata gaji awalan untuk bidang komputer hampir sama dengan bidang kejuruteraan lain, malahan lebih baik daripada bidang elektrik dan awam [1]. 
  3. Skala gaji. menggunakan kata kunci berikut dan gaji tertinggi: network - RM14,800, software - RM12,500, electrical - RM8500, civil - RM5700, mechanical - RM8000 dan chemical - RM5000.00. Kesimpulan, gaji bidang saing komputer lebih tinggi sehingga mencapai 5 angka melebihi bidang utama :P [1]. 
  4. Peluang. Seperti bidang-bidang lain, pekerjaan dalam dunia pengkomputeran tidak terhad di Malaysia kerana umum terima bahawa bidang ini adalah sama diseluruh dunia; maka pelajar boleh bekerja di mana-mana di dunia tanpa halangan. 
  5. Industri. Antara nama industri yang terkenal di Malaysia yang menawarkan pekerjaan seperti IBM, Dimensiondata, Mesiniaga dan HP. 
Kesimpulan
  1. Gunakan sebaik mungkin peluang diberikan walaupun ditempatkan ke fakulti sebegini; abaikan pandangan umum kerana ramai graduan telah mendapat habuan masing-masing dalam bidang ini. 

Tuesday, September 20, 2011

Kedudukan Universiti (ranking) dan Agenda Nasional

Berkisar tentang perihal kedukukan universiti dan agenda nasional, sering kali aku baca komen dan pandangan umum di paparan akhbar. Sebagai ahli akademik yang meninggalkan seketika dunia pendidikan - menumpukan pada penyelidikan, sedikit pandangan yang ingin diutarakan berdasarkan pengalaman 8 tahun sebagai pensyarah di univeristi tertua di Malaysia. Aku tahu isu ini boleh dilihat dipelbagai sudut, namun sukacita aku fokuskan kepada dua sahaja, isu kedudukan universiti dan pelajar.

Antara isu pelajar yang aku ingin kongsikan.

  1. Aku tidak menafikan kepentingan negara dalam memartabatkan universiti di Malaysia untuk menjadi antara universiti terbaik didunia, atau dalam erti kata lain, tersenarai antara universiti terkemuka.
  2. Namun aku agak terkilan dengan tindakan universiti, saban tahun pendekatan mengurangkan pengambilan pelajar diambil oleh universiti penyelidikan. Kata mereka ini akan membantu kedudukan universiti; memang benar fakta ini dan seperti yang kita lihat universiti tertua di Malaysia sudah meningkat hasil dari pendekatan ini.
  3. Aku masih ingat, semasa menjadi pensyarah, pengambilan bukan sahaja dikurangkan lebih dari 50%, namun di ganti dengan pelajar luar negara yang pada hemat aku, ada mereka2 ini tidak layak untuk mengantikan anak Malaysia; sebahagiannya tidak boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris; kemudian dilambakkan dengan pelajar dari Timur Tengah yang pada hemat tidak sebijak anak tempatan Malaysia. Ironinya, aku dimaklumkan ini adalah bertujuan untuk memberi impak kepada anak tempatan untuk bersaing secara sihat.
  4. Untuk makluman, pengurangan pelajar ini berlaku sudah hampir lebih 5 tahun, berlaku berperingkat-peringkat tanpa perubahan drastik.
  5. Persoalannya, jika pada asalnya 300 pelajar ditawarkan pada 2007 kemudian dikurangkan kepada 150 orang pelajar pada tahun seterusnya, kemudia dari 150 orang itu, 10% adalah bukan warganegara; maka seramai 160 warga negara telah dinafikan untuk belajar di universiti tertua dan ternama itu? Adakah ini dinamakan kemenangan?
  6. Saban hari kita mendengar keluhan ibu bapa kerana tidak dapat tempat di universiti tempatan; persoalannya jika anak tempatan tidak mendapat tempat kenapa diberikan kepada orang luar? Kata mereka, untuk menggalakan persaingan. Itu alasan yang aku dengar 3 tahun yang lepas.
  7. Ramai memberi alasan, pelajar yang sedikit akan memberi kesan pembelajaran yang berkualiti. Namun, pada aku, ini semua tidak punya asas yang kuat. Sebagai perbandingan; jika kita mempunyai 50 orang pelajar ? adakah kualiti semua pelajar ini akan sama? Natijahnya, taburan normal akan memberi keseimbangan dalam menghasilkan pelajar, mungkin 10-20% akan cemerlang selebihnya boleh dikategorikan biasa.
  8. Bayangkan, jika hanya 50 pelajar ditawarkan tempat, dan 50% pelajar cemerlang (dikatakan hasil dari sedikit pelajar menghasilkan kualiti pelajar yang baik). Namun, jika kita ade 300 pelajar, walau hanya 10% cemerlang, bilangannya sudah melebihi dari 50% yang terdahulu? Tambahan kita mempunyai pelajar yang mampu bersaing di luar sana, tanpa penggantungan dengan sumber luar.
  9. Persoalan seterusnya, apa guna punya pendidik dan pensyarah yang baik bertaraf dunia jika dan tidak digunakan secara optimum untuk mendidik anak bangsa?
  10. Pada hemat aku, alangkah ruginya negara, punyai universiti bertaraf antarabangsa, namun kesannya hanya untuk anak bangsa dalam skala kecil. Jangan nanti, orang kata, anak kera dihutan disusukan, anak sendiri mati kelaparan.
Isu Kedudukan universiti dan penyelidikan.

  1. Kita sering dimomokkan dengan kepetingan penulisan dalam journal antarabangsa yang disenaraikan dalam index ISI (journal ISI) untuk tujuan penambahbaikan dalam kedudukan.
  2. Aku tidak menafikan kepentingan penulisan ini, namun aku masih kurang faham tentang hubungkait yang bermakna lagi jelas antara penulisan journal ISI dan kedudukan universiti. Sedikit fakta yang diambil dari penulisan bekas naib cancelor, kenaikan universiti dalam kedudukan terbaik adalah disumbang oleh peratusan nisbah pelajar dan BUKAN dari penerbitan ISI. Fakta ini perlu dijelaskan oleh pengurusan universiti agar ia tidak diketawa kelak oleh anak bangsa.
  3. Juga tidak menafikan tentang kepentingan penerbitan sebegini, namun ianya perlu diuruskan dengan baik; atau dalam erti kata lain, tidak menafikan penerbitan yang lain.
  4. Perbandingan kasar diambilkira, penerbitan dalam journal ISI memerlukan dana penyelidikan yang tinggi; adakah kita mampu untuk menjana dana ini atau kita bergantung sepenuhnya dengan duit rakyat hasil dari cukai negara? Berbaloi atau tidak?
  5. Isu journal ISI sering kali dikaitkan dengan isu kenaikan pangkat pensyarah. Dalam erti kata lain, tanpa ISI peluang untuk dinaikan pangkat adalah rendah. Namun persoalannya, adakah adil jika kita samakan pekara ini dengan semua bidang? Semua sedia maklum bahawa bidang bukan Sains agak sukar untuk mendapatkan penerbitan dalam ISI. Kenapa ini tidak diambil kira? Pada hemat aku, kesarjanaan itu tidak diukur semata-mata dengan penerbitan journal ISI, banyak faktor lain perlu dilihat.
  6. Dalam erti kata lain, universiti yang mengenakan syarat ini adalah dianggap tidak wajar. Pada hemat aku, imbuhan gaji adalah sama dikalangan pensyarah di universiti tempatan, maka ini harus dilihat bagi mengelakan isu ketidak adilan dikalangan pensyarah di seluruh negara. Ada universiti memerlukan banyak journal ISI untuk kenaikan pangkat, ada universiti TIDAK.
  7. Isu lain ditimbulkan oleh penyelidik baru, mengadu kepada aku tentang keperluan penerbitan journal ISI. Persoalan aku, adakah adil jika kita meng'arah'kam penyelidik baru untuk menghasilkan penerbitan berjenis ini (dikatakan prasyarat untuk menjadi pembantu penyelidik); sedangkan masih ramai lagi penyelidik-penyelidik lama bertaraf profesor masih bertungkus lumus untuk menerbitkan perkara yang sama? Jika perkiraan quantitative digunakan dan andaian masa depan dikira, jika seorang pensyarah baru perlu menyiapkan 2 journal ISI setiap tahun; maka seorang profesor yang telah berkhidmat selama 20 tahun perlu ada sekurang-kurangnya 40 penerbitan. Mungkin ada, tapi kebanyakkannya tidak sebanyak itu - kalau ada pun bukan penulis pertama, ditulis oleh pelajar dan penyelidik kebanyakkan. Kepimpinan melalui teladan kah ini?
  8. Pada aku dalam keghairahan mengejar penerbitan journal ISI, banyak perkara lain perlu dilihat. Perlu seiring, jika mahukan juga, sediakan keperluan asas seperti dana, pelajar yang baik, penyelidik yang baik dengan gaji setimpal, ruang untuk berfikir dan perkara-perkara lain. Semestinya, meletakkan pada satu faktor bukan satu cara yang bijak.
Kesimpulan

  1. Dalam keghairahan mengejar kedudukan, jangan terlepas pandang anak bangsa Malaysia yang dahagakan pendidikan.
  2. Penerbitan dalam journal berindekan ISI penting, namun ia perlu diseimbangkan dengan penerbitan-penerbitan lain.
  3. Kedua-dua perlu seiring; namun pendekatan yang lebih bermakna perlu digariskan semula. Agenda nasional dalam menaikkan kedudukan perlu dilihat semula, seiring dalam melahirkan anak bangsa yang menjadi agenda sepanjang masa.

Sunday, August 23, 2009

London:Summer 2009







Tuesday, August 18, 2009

Two days at London

Dua hari di London cukup memenatkan aku. Jumaat aku bertolak dari Plymouth sampai di London dalam jam 11 malam. Aku tak la penat sangat, cuma driver (Wino) mungkin penat sikit pada malam tu. Sampai London, terus lepak dan menidurkan diri sebab keesokan harinya aku perlu bangun jam 9 pagi.
Style rambut baru: Irfan cakap style rambut 80'an. :)

Perancangan hari pertama untuk pergi ke Karnival Merdeka Malaysia tidak berkesempatan, so Zarul rancang untuk jalan-jalan sekitar London sahaja. Last aku sampai London, last year summer, so dah masuk setahun baru aku jejak kaki semula ke London. Sempat amik beberapa keping gambar. Gambar yang di atas diambil oleh Shue.

Hari pertama Sabtu 15 Ogos 2009, dari seawal pagi jam 9, aku bertolak dari Dollis Hill (Zone 3) ke Waterloo. Kos cuma £5.00 untuk pusing-pusing sekitar London dengan Underground Tube. Aku luang masa hampir 2 jam di sekitar London Eye kemudian terus ke kawasan berhampiran. Tak ingat nama tempat, tapi penat kaki berjalan.

Tengah hari, makan di Jom Makan di Telfagar Square dan terus ke Bayswater pada sebelah petang. Di Bayswater, aku sempat menghabiskan duit beli beberapa buah tangan untuk orang Malaysia. Nanti aku balik Malaysia baru aku kasi. Kalau pos, makan kos tambahan ;).

Sebelah malam aku luangkan masa ke Tower Bridge dan balik dalam jam 12.00 malam.

Cukup untuk entri di London, jumpa lagi di lain masa. Nanti aku masukkan entri berasingan untuk gambar sekitar London.

Monday, August 03, 2009

Skim Perkhidmatan Pensyarah? Berbaloi atau tidak?


31.12 Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmatNya kepadamu)”. Dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.
Chapter: Luqman

Baru-baru ini, aku ditanya oleh seorang rakan aku, adakah Skim Perkhidmatan Pensyarah di Malaysia berbaloi atau tidak? Apa bezanya dengan Skim Perkhidmatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD). Aku dengan mudah menjawab, sama sahaja sebab perkhidmatan tersebut adalah dalam perkhidmatan kerajaan. Tapi menurut beliau, skim perkhidmatan PTD lebih baik dari Pensyarah dengan merujuk satu laman blog yang membuat perbezaan antara skim PTD dan Pensyarah.

Setelah seketika, aku berfikir, aku pun tidak pasti yang mana satu skim yang baik. Mungkin ada benarnya, dan mungkin ada tidak benarnya. Pada aku sama ada skim pensyarah atau PTD, yang penting jika usaha dilakukan dengan betul, dan dengan rezeki yang ada, insya-allah tidak ke mana.

Walau apa pun, nukilan aku kali ini, aku ingin berkongsi tentang skim perkhidmatan pensyarah di Malaysia. Berbeza dengan skim PTD, skim pensyarah bermula dengan lantikan gred 45 dan bukan gred 41. Apa beza antara dua gred ini? 45 dan 41? Bezanya ialah tangga gaji. Jadual di bawah aku tunjukkan perbezaan antara skim gaji pensyarah, skim gaji PTD, dan guru. Dari segi gaji, jadual di bawah jelas menunjukkan keseimbangan skim PTD dengan skim pensyarah dan guru. Secara realiti mungkin ramai mengatakan tidak, ini termasuk faktor lain seperti kenaikan pangkat yang membolehkan perbezaan jelas antara skim PTD, pensyarah dan guru.

Aku tidak mahu menyatakan yang mana lebih baik, cukup sekadar memberi perbandingan. Sebagai contoh, aku berikan seorang pegawai berumur 21 tahun yang memulakan perkhidmatan dalam kerajaan. Untuk skim PTD, tanpa kelulusan Sarjana, beliau boleh menjawat jawatan awam seawal umur 22 tahun. Manakala bagi pensyarah, bermula pada umur 23 tahun setelah tamat pengajian sarjana, dan 22 tahun juga bagi seorang guru. Jadual berikut menunjukkan contoh perjalanan seorang kakitangan awam, bermula dari umur 21 tahun iaitu sebaik tamat pengajian di universiti.

Jadual menunjukkan perjalanan gaji antara skim Pensyarah, PTD dan Guru.
Jika dilihat dari jadual di atas, bagi kenaikan pangkat seorang PTD dan pensyarah, dalam kebanyakan kes sebelum ini, PTD dapat menjawat jawatan M44 seawal tiga hingga lima tahun dari pelantikan. Bermakna pada umur 25 tahun atau lebih awal PTD telah mendapat gaji sebanyak RM3023 dan jauh meninggalkan skim pensyarah (RM2729) dan skim guru (RM2057).

Dalam keadaan ideal, aku pernah dimaklumkan dan aku ketahui, pensyarah boleh dinaikkan pangkat seawal 30 tahun untuk jawatan pensyarah kanan. Ini bergantung juga kepada tahap kecemerlangan pensyarah tersebut dan di mana pensyarah itu mengajar. Ini bermakna pada usia seawal umur 30 tahun, pensyarah telah mendapat gaji sebanyak RM4573.47, sedikit tinggi dari PTD (RM4427.36). Perlu diingatkan ahawa, dalam keadaan yang ideal juga PTD dapat menjawat jawatan M48 pada usia seawal 30 tahun.

Dalam kes dinyatakan di atas juga, pensyarah hanya dapat menjawat jawatan pensyarah kanan setelah dua kali kenaikan pangkat PTD iaitu dari M41 kepada M48. Dan dalam keadaan ideal juga, setelah penjawat awam berumur 35 tahun, penjawat awam boleh dan mampu menjawat jawatan Profesor Madya bagi skim pensyarah dan M52 bagi PTD.
Pada aku, antara skim PTD dan pensyarah, sama-sama ada keseimbangan, cuma pada skim guru, ia sikit menunjukkan kelemahan. Aku tidak pasti tentang kenaikan pangkat dalam skim perguruan. Yang aku tahu, dari rakan-rakan, guru dinaikkan pangkat secara 'berkelompok' setelah 7 tahun menjawat DG41 sebelum ke DG44.

Untuk PTD, aku pasti kenaikan pangkat adalah sukar dan tidak ramai dapat menjawat gred 52 dalam umur seawal 35tahun. Mungkin ada, tetapi aku agak ia adalah dalam jumlah yang kecil. Begitu juga dengan skim pensyarah, untuk mendapat Profesor Madya pada awal seusia 35 tahun, cukup kecil jumlahnya untuk dikira.

Namun, untuk perkiraan di atas aku tidak masukkan elaun-elaun untuk ketiga-tiga skim. Untuk tatapan dan perkiraan pembaca sendiri. Di bawah aku lampirkan elaun untuk ketiga-tiga skim di atas. Jika dikira dengan elaun ini, mungkin perkiraan aku di atas salah, dan mungkin akan menunjukkan ada kelebihan pada skim pensyarah mahupun pada skim PTD :).

*hanya di bayar pada tahun ke-10 sahaja, elaun perkhidmatan awam tidak dibayar lagi.

Persoalannya, adakah skim pensyarah berbaloi atau tidak. Pada aku berbaloi, kerana peluang kenaikan pangkat di skim pensyarah tidak seperti piramid seperti dalam skim PTD dan guru, bermakna dalam skim pensyarah, jika anda cemerlang, tanpa menunggu kekosongan di peringkat atasan, anda mampu dinaikkan pangkat. Sila lihat nota ini untuk tahu apa lagi kelebihan menjadi pensyarah.

Wednesday, July 29, 2009

Nasib Melayu di bumi Melayu oleh Dr. Mohd Ridhuan Tee

Sekadar renungan.
Artikel diambil dari ruangan Mingguan Malaysia.

JULAI 26 - Saya tidak menafikan bahawa kematian Teoh Beng Hock perlukan kepada pembelaan. Saya amat mengalu-alukan keputusan Kabinet untuk menubuhkan satu inkues dan Suruhanjaya Bebas Diraja untuk menyiasat dan menentukan punca kematian Beng Hock.

Siasatan yang telus dan rapi mesti dijalankan tanpa rasa takut agar dapat memuaskan hati semua pihak, apatah lagi pihak keluarga dan parti pembangkang yang begitu bersungguh-sungguh dalam isu ini.

Namun, saya merayu, semua parti berkepentingan, supaya bersabar menunggu sehingga siasatan selesaikan dijalankan. Di kala itu, kita akan mengetahui apa yang benar, apa yang salah dan siapa yang benar dan siapa yang salah. Selepas itu juga, kita boleh bercakap dan berkokok berpuas-puasnya mengenai perkara ini.

Hukumlah mereka yang bersalah, tetapi jangan jadi Tuhan sebelum sesuatu perkara dibuktikan. Saya amat takut politik mahukan jadi Tuhan yakni dengan membuat andaian pelik-pelik, yang mana hanya Tuhan sahaja yang Maha Mengetahui sebelum sesuatu perkara dibuktikan.

Dalam menganalisis isu ini, saya teramat hairan kenapa tiga parti politik Cina, MCA, Gerakan dan DAP, serta parti pembangkang Melayu yang lain begitu bersungguh-sungguh membuat pelbagai andaian dengan menuding jari kepada pihak-pihak tertentu, tanpa menunggu keputusan siasatan.

Saya tidak menafikan ada yang tidak kena dengan cara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengendalikan kes ini. Namun, tindakan menuding hari ini seolah-olah memperlihatkan mereka mahu memenangi hati orang Cina, demi kepentingan politik. Lebih-lebih lagi parti-parti komponen seperti Gerakan dan MCA yang telah mula hilang kepercayaan orang Cina.

Ketua Wanita MCA mengeluarkan kenyataan lebih ekstrem mendesak Menteri Dalam Negeri supaya anak yang dikandung oleh teman wanita Beng Hock diletakkan status anak sah taraf dan bukan anak luar nikah. Sedangkan kita semua tahu bahawa mereka belum berkahwin secara rasmi atau telah bersekedudukan tanpa nikah. Bermakna, anak itu tetap anak zina atau anak luar nikah (anak tidak sah taraf). Berapa ramai lagi anak luar nikah yang ingin kita sahkan hasil daripada hubungan luar nikah ini.

Sedarkah Ketua Wanita MCA betapa ramai gadis-gadis Melayu Islam yang menjadi mangsa (bersekedudukan dengan pasangan Islam atau bukan Islam, sama ada secara paksa atau sukarela) melahirkan anak luar nikah tanpa dibinkan kepada bapa mereka? Kenapa MCA tidak memperjuangkan nasib mereka? Kenapa MCA tidak pergi berjumpa Menteri Dalam Negeri untuk mengesahkan semua hubungan sumbang ini? Apa pun jua punca kematian Beng Hock, hubungan yang haram tetap haram, ia tidak boleh disahkan, hanya kerana insiden ini.

Jika ditakdirkan Gautama Buddha (juga Konfusius dan Lao Tzu) masih hidup, sudah tentu tindakan Ketua Wanita MCA ini akan dicela kerana ajaran Buddha (juga agama lain, terutama agama Islam) mengharamkan sama sekali perbuatan berkesedudukan (zina) tanpa nikah, apatah lagi sehingga melahirkan anak luar nikah.

Saya amat mengharapkan parti-parti politik Cina bertindak waras dan jangan terlalu ekstrem. Fikirkanlah hati orang lain jua bila mengeluarkan sesuatu kenyataan, terutama orang Melayu.

Orang Melayu tidak kurang yang menjadi mangsa seperti Beng Hock. Persoalannya, berapa ramai di kalangan kita yang bangun membela mangsa tersebut? Kenapa bila seorang Cina meninggal dunia (kita masih belum mendapat puncanya), Malaysia seolah-olah seperti macam nak kiamat atau dilanda tsunami.

Saya juga amat bersimpati dengan Beng Hock, tetapi beliau sudah ditakdirkan meninggal dunia dalam keadaan sedemikian. Mesti ada hikmah di sebaliknya. Tidak bolehkah kita tunggu hingga siasatan selesai.

Saya ingin bertanya kepada parti-parti politik Cina, akhbar-akhbar Cina dan parti-parti politik pembangkang Melayu, sejauhmanakah pembelaan dibuat sekiranya ia berlaku di kalangan orang Melayu? Misalnya, pembunuhan gadis model Mustakizah Jaafar pada 14 November

1998. Berapa ramai yang bersungguh-sungguh menunjukkan belang mereka. Apakah MCA, Gerakan dan DAP begitu bersungguh-sungguh menunjukkan pembelaan terhadap Mustakizah?

Berapa ramai yang tampil berdemonstrasi dan menyerahkan memo bantahan atau mendesak supaya suruhanjaya diraja ditubuhkan. Adakah MCA, Gerakan dan DAP begitu terkehadapan dalam isu ini? Begitu juga dengan Pas dan PKR (belum wujud lagi), adakah mereka begitu bersungguh-sungguh dalam mempertahankan nasib Mustakizah? Sehingga kini, kes kematian Mustakizah masih lagi menjadi misteri.

Saya masih ingat pada November 2005, kononnya tahanan warga China telah dipaksa berbogel dan ketuk ketampi oleh seorang anggota polis wanita semasa dalam tahanan. Aksi tersebut telah dirakam dan gambarnya menghiasi dada-dada akhbar tempatan terutamanya akhbar berbahasa Cina. Dengan rasa bersalah yang teramat sangat, walaupun belum dibuktikan, kerajaan ketika itu telah mengarahkan Menteri Dalam Negeri, untuk segera terbang ke China bagi menjelaskan sebarang kekeliruan yang mungkin timbul akibat daripada kejadian tersebut.

Semua ini hasil desakan dan tindakan ekstrem MCA, Gerakan dan DAP, termasuk akhbar-akhbar Cina, serta tidak ketinggalan parti-parti pembangkang. Setelah siasatan dijalankan, ternyata gadis yang dipaksa berbogel itu bukan warga China tetapi seorang gadis Melayu. Malang sungguh menjadi orang Melayu, selepas itu, kes ini tidak lagi dibincangkan, malah menjadi senyap dan tidak dibahaskan lagi di dada-dada akhbar, terutama akhbar Cina.

Apa yang saya maksud di sini ialah bila sesuatu kejadian yang menimpa orang Melayu, tidak ramai yang berasa sensitif tetapi bila orang lain terutamanya (Cina dan India), seolah-olah hari sudah hampir kiamat seperti tidak ada isu lain yang hendak dibincangkan lagi.

Kita jarang berpolitik untuk mempertahankan apa yang benar dan apakah yang salah? Tetapi kita lebih banyak berpolitik dengan politik yang merugikan iaitu menuding jari untuk melihat siapakah yang menang

(benar), siapakah yang kalah (salah). Politik hanya untuk mencari keuntungan politik atau mendapat undi politik, sedangkan maruah agama dan bangsa tergadai. Berbaloikah dengan berpolitik sebegini? Sedangkan orang lain sentiasa mengambil kesempatan hasil dari kelemahan kita?

Kita juga jarang berpolitik melihat kepentingan semua kaum, tetapi berpolitik secara sempit mempertahankan kaum sendiri sehingga hilang rasional akal. Tujuannya tidak lain, untuk mempertahankan kuasa dan memancing undi. Masing-masing mahu menjadi jaguh kaum, dengan mengenepikan kepentingan umum. Berapa banyak surau dan masjid dirobohkan untuk tujuan pembangunan? Berapa ramai bukan Islam tampil mempertahankannya? Orang Islam masih boleh menerimanya. Itulah sikap toleransi yang amat saya kagumi.

Tetapi bila ada satu kuil atau tokong dirobohkan bagi tujuan pembangunan, satu Malaysia bagaikan nak ribut dan kelam-kabut seolah-olah telah berlaku penganiayaan terhadap orang bukan Islam.

Malaysia diperlihatkan tidak mengamalkan kebebasan beragama. Macam-macam tuduhan dibuat, tidak cukup dalam negeri, dibawa sama keluar negeri untuk menagih simpati dan memburuk-buruk tanahair sendiri. Berbaloikah?

Sedangkan kita semua sedia maklum bahawa rumah ibadat orang bukan Islam (Hindu, Buddha dan Kristian) melebihi berkali-kali ganda daripada jumlah masjid dan surau.

Jumlah kuil Hindu sahaja sudah melebihi masjid dan surau, apatah lagi jika dicampurkan dengan rumah ibadat agama Buddha dan Kristian dan lain-lain. Sedangkan semua sedia maklum bahawa orang Islam adalah penduduk majoriti dan agama Islam adalah agama rasmi negara ini.


Logik

Dari segi logik dan rasionalnya, sudah tentu kita mahu melihat bilangan surau dan masjid melebihi rumah ibarat yang lain, dengan mengambil kira sejarah dan keistimewaan Islam (Melayu) seperti yang termaktub dalam perlembagaan.

Tetapi adakah ia berlaku? Jawapannya, tidak. Realiti yang jelas adalah, kita mempunyai patung yang tertinggi dan terbesar di dunia, walaupun penduduknya hanya berjumlah lebih kurang 10 peratus. Beginilah nasib Melayu di bumi Melayu. Terlalu menjaga hati orang, sehingga hati sendiri terguris tiada siapa yang tahu atau mungkin orang lain tak ingin ambil tahu, sebab tidak berkaitan atau tidak menguntungkan.

Saya juga teramat ingin mendengar kenyataan daripada orang bukan Melayu (parti politik Cina dan India) tentang pembelaan nasib umat Islam Cina Uighur yang dibunuh secara terancang oleh kerajaan China. Kenapa mereka tidak bersuara menentang tindakan ganas ini?

Hanya kerana orang Cina itu beragama Islam, maka ia menjadi senyap. Bayangkanlah kalau yang terlibat itu adalah Cina yang tidak Islam, sudah tentu mereka akan melompat-lompat.

Begitu juga isu apabila adalah orang Cina/India yang bertindak keluar daripada Islam yakni Murtad atau orang Melayu murtad, berapa ramai bukan Melayu yang tampil ke hadapan memberitahu mereka supaya janganlah murtad.

Berapa ramai kalangan mereka yang memujuk mereka yang mahu murtad agar jangan murtad, hormatilah agama Islam seperti yang termaktub dalam perlembagaan dan jagalah hati orang Melayu Islam. Apa yang selalu kita dengar ialah mereka akan mengapi-apikan lagi mereka yang ingin murtad untuk terus murtad dan mempertahankannya bermati-matian setelah mereka murtad.

Mereka mengatakan ini adalah hak asasi manusia. Tetapi bila mana tiba isu berkaitan Islam, maka semua hak asasi itu hilang entah ke mana. Yang dicari hanya ketidakadilan Islam, ketidakadilan mahkamah syariah dan bermacam-macam lagi.

Ini tidak termasuk lagi isu perebutan mayat saudara baru yang meninggal. Apa yang saya tahu, kita selalu mengalah berhadapan dengan golongan ekstrem ini. Paling menyedihkan, mereka langsung tidak bersyukur apabila kita beralah.

Tetapi apabila mereka tidak mendapat apa yang mereka hajatkan, setelah undang-undang menyebelahi kita, maka kita (agama Islam dan mahkamah syariah) akan dikecam habis-habisan.

Justeru, sudah sampainya kita berpolitik secara matang dengan meletakkan kepentingan semua kaum di hadapan bertunjangkan kepada perlembagaan, berbanding politik etnik (kaum) yang sempit.

Dalam isu Beng Hock ini, bersabar dan tunggulah sehingga siasatan selesai. Jangan membuat andaian dan mengapi-apikan isu ini, kerana ia tidak menguntungkan sesiapa. Yang pergi tetap telah pergi, hidup ini perlu diteruskan. Jadikanlah ia sebagai suatu ikhtibar untuk kita menerokai atau berpolitik dengan lebih baik seperti mana Allah SWT berfirman dalam al-Quran, jadikanlah sesuatu kejadian yang berlaku sebagai pengajaran, wahai orang-orang yang mempunyai pandangan. – Mingguan Malaysia

Dr. Mohd Ridhuan Tee
Penulis ialah Pensyarah Kanan,
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

Monday, July 27, 2009

Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) Dimansuhkan? Apa kata anda?

10.57 Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.
Chapter: Yunus

Sedih, kecewa dan penuh tanda tanya. Begitu tiga perasaan yang menyelubungi aku ketika diumumkan bahawa PPSMI dimansuhkan. Kenapa perlu mansuh? Dan kenapa perlu tunggu 2012 untuk pemansuhan itu dilaksanakan? Walaupun isu ini agak sudah lama, aku rasa terpanggil untuk menulis sedikit nukilan berkaitan dengan isu ini.

Memang aku pejuang bahasa Melayu, tetapi pemansuhan secara total untuk PPSMI amat merugikan. Pada aku cukup sekadar untuk memansuhkannya pada tahap awal seperti pada tahun 1 sehingga 6, tetapi tidak pada sekolah menengah. Mungkin betul pembelajaran dalam Bahasa Inggeris akan mengurangkan pelajar meminati Matematik dan Sains, terutama bagi pelajar di luar bandar. Tetapi, perlukah Inggeris di peringkat rendah? Aku rasa tidak perlu. Masih awal lagi, dan perkataan yang terlibat hanya sedikit dan asas. Cukup dengan penggunaan Bahasa Malaysia.
Teringat aku dahulu, ketika belajar semua itu dalam Bahasa Malaysia, memang mudah. Tetapi bila tiba di peringkat Universiti, aku terpaksa tukar semua dalam Bahasa Inggeris. Teruk juga aku fikirkan pada ketika aku.

Kali ini, aku berani katakan yang aku setuju dengan kenyataan MCA, bahawa mahukan PPSMI dikekalkan di peringkat menengah, atau sekurang-kurangnya di tingkatan 4 dan 5. Menurut MCA, pada tingkatan 1 sehingga 3, penggunaan bahasa Malaysia dan Inggeris boleh diselang-selikan. Bermakna, penerangan boleh dilakukan dalam Bahasa Malaysia manakala terma dan perkataan tertentu dikekalkan dalam Bahasa Inggeris. Manakala di peringkat tingkatan 4 dan ke atas, boleh dikekalkan dalam Bahasa Inggeris.

Terdahulu, aku ada berbual dengan seorang guru yang mengajar matematik di peringkat menengah sekarang. Apabila PPSMI dimansuhkan nanti pada tahun 2012, beberapa terma akan diubah kembali ke dalam Bahasa Malaysia. Contohnya, Circular Measurement, akan ditukar kepada sukatan membulat. Untuk dijadikan perbualan, anak murid guru terbabit bertanya, “apa yang bulat cikgu?”, “cikgu yang mengajar tu ke yang bulat?”, tergelak aku seketika. Pelik, tetapi itu realiti yang harus dihadapi akan datang.
Aku yakin, masih banyak yang boleh diperkemas lagi. Masih jauh lagi 2012, masih banyak yang boleh diperbaiki. Pemansuhan sepenuhnya mungkin bukan jalan penyelesaian yang paling ideal. Memang tiada yang ideal di dunia ini, sekurang-kurangnya, laksanakan secara berperingkat. Mungkin cadangan dari pihak MCA ada betulnya. Apa pendapat kalian?

Friday, July 17, 2009

Bergurau senda di pagi hari

Nukilan ini diambil dari sisipan blog lain :). Bukan ciptaan sendiri tetapi sesuai untuk memulakan kerja anda dipagi hari.

Soalan Licik, Jawapan Cerdik (Erazamankini, 2009)

Seorang guru, Cikgu Murni (Umur: 22) menghadapi masalah dengan salah seorang muridnya (Abu).
Lalu guru ini bertanya kepada murid tersebut : "Apa sebenarnya masalah awak, Abu?"

Lalu Abu menjawab, "Saya terlalu cerdik untuk berada di darjah 4, kakak saya menduduki UPSR dan saya lebih cerdik dari dia, maka saya seharusnya berada di tempat yang sama juga!".

Cikgu Murni dah tak tertahan. Dia bawa Abu ke pejabat pengetua. Sementara Abu menunggu di ruang tamu, Cikgu Murni terangkan keadaan tersebut kepada pengetua. Pengetua mengatakan yang dia akan berikan ujian kepada Abu dan jika Abu gagal menjawab, maka Abu harus kekal di darjah 3 dan berkelakuan baik. Abu dibawa masuk ke pejabat Pengetua dan Cikgu Murni terangkan pada Abu dan Abu bersetuju untuk ambil ujian yang akan diberikan.

Pengetua : Apa 3 x 3?
Abu : 9
Pengetua : Apa 6 x 6?
Abu : 36

Pengetua terus bertanyakan soalan2 berdasarkan tahap pencapaian murid2 UPSR dan si Abu mampu menjawab tiap soalan yang diberikan. Lalu pengetua memandang Cikgu Murni dan berkata, "Saya rasa murid ini sepatutnya berada di darjah 6", Lalu Cikgu Murni berkata pada pengetua, "Saya ada soalan saya sendiri, boleh tak saya ajukan pada Abu?". Pengetua dan Abu bersetuju.


Cikgu Murni : Apa yang lembu ada 4 di badan, tapi saya cuma ada dua?
Abu : (berfikir) Kaki

Cikgu Murni : Apa yang ada di dalam seluar kamu tapi tidak pada seluar saya?
Abu : Saku

Cikgu Murni : Apa yang bermula dengan huruf "K" akhir dengan "A", ianya berbulu, berbentuk oval, nyaman dan mengandungi lapisan nipis keputihan?
Abu : Kelapa

Cikgu Murni : Apakah yang masuk keras dan berwarna "pink", bila keluar lembik dan melekit?

Mata Pengetua terbuka luas dan sebelum sempat dia menahan, siAbu terus menjawab.

Abu : Gula-gula getah (Bubblegum)

Cikgu Murni : Apa yang mereka lakukan, lelaki secara berdiri, wanita secara duduk dan anjing secara tiga kaki?

Mata Pengetua sekali lagi terbuka sangat2 luas dan sebelum dia sempat hendak menahan si Abu terus menjawab.

Abu : Bersalaman

Cikgu Murni : Baik, sekarang saya akan ajukan soalan berbentuk siapakah saya, okay?
Abu : Baik Cikgu

Cikgu Murni : Awak memasukkan batang kedalam saya. Awak ikat saya untuk saya berdiri. Saya kebasahan sebelum awak.

Pengetua kelihatan resah dengan soalan yang diajukan oleh Cikgu Murni.

Abu : Khemah

Cikgu Murni : Jari memasuki saya. Awak menggesel-gesel saya bila awak teringatkan saya. Lelaki idaman akan mendapat saya dahulu.

Pengetua semakin resah dan tidak selesa. Lantas terus meneguk segelas Nescafe 3in1.

Abu : Cincin perkahwinan

Cikgu Murni : Saya ada bermacam-macam saiz. Bila saya sakit saya akan meleleh. Bila saya keluar, banyak tisu yang akan digunakan. Bila awak hembuskan saya, akan berasa lega.

Sekali lagi pengetua rasa amat resah dengan soalan yang di ajukan oleh Cikgu Murni dan ingin membantah, tapi si Abu mendahuluinya.

Abu : Hidung

Cikgu Murni : Saya batang yang keras. Hujungnya tajam. Saya akan datang dan masuk dengan lajunya.
Abu : Anak panah

Cikgu Murni : Sekarang saya akan ajukan soalan dalam Bahasa Inggeris, okay?
Abu : Okay

Cikgu Murni : What word starts with a 'F' and end in 'K' that means lot of heat and excitement?
Abu : Firetruck

Cikgu Murni : What word starts with a 'F' and ends in 'K' & if you dont get it you have to use your hand.
Abu : Fork

Cikgu Murni : What is it that all men have one of. It's longer on some men than on others, the pope does not use his, and a man gives it to his wife
after they are married?
Abu : Surname

Cikgu Murni : What part of the man has no bones but has muscles, lots of veins and loves pumping?
Abu : Heart

Pengetua menghembuskan nafas kelegaan bila mendengar jawapan yang diberikan oleh si Abu, lantas berkata "Baik hantar murid ini ke Universiti Malaya; jawapan yang saya fikirkan semuanya salah".

Rujukan

Erazamankini, 2009, available at http://senseboyz.blogspot.com/2009/07/huhu-soalan-licik-jawapan-cerdik.html

Thursday, July 16, 2009

Kenapa kita perlu sama dengan orang lain?

Dua ungkapan yang menyentuh perasaan aku.

Persoalannya "Kenapa saya berbeza dengan orang lain?"
Tapi "Kenapa kita perlu sama dengan orang lain?"

Sisiapan kali ini ringkas. Sama-sama lihat dan tonton sedutan filem ini.




ps: iklan ini aku jumpa sebab sekarang aku sedang mencuba shampoo baru, Pantene. :)

Wednesday, July 15, 2009

Dua Cerita Dua Hari dan Dua Tema: Harry Potter vs. Transformers

Gambar bulan lepas sewaktu menonton Transformers.

Dua cerita, dua tema berbeza, aku ambil peluang untuk luangkan masa petang tadi menonton cerita terbaru Harry Potter. Saja masukkan sedikit gimik tajuk di atas, aku masukkan juga cerita Transformers yang aku tonton bulan lepas. Dua-dua cerita aku tengok sebelum kedua-dua filem tersebut ditayangkan di Malaysia. Sehari awal sebelum ditayangkan di Malaysia.

Harry Potter and the Half Blood Prince

Kepada yang sudah membaca novel, aku rasa pasti sudah tahu apa jalan ceritanya. Aku yang malas untuk membaca novel tersebut hanya sekadar menonton filem yang diadaptasi dari novel tersebut. Dari sinopsis cerita novel, mungkin ada perbezaan, mungkin ada persamaan. Pada aku, filem kali ini cukup tidak memuaskan hati aku. Kenapa? Sebab di luar jangkaan aku. Aku mahukan aksi 'magic', tetapi banyak aksi bercinta.

Plot awal hingga akhir cerita lebih tertumpu pada plot cerita cinta Harry, Ron dan Hermione. Mungkin bertujuan untuk menunjukkan kematangan Harry Potter dan rakan-rakan, adegan plot bercinta memenuhi keseluruhan cerita. Untuk kepada sesiapa yang mahukan adegan ‘magic’, aku rasa mungkin kali ini kalian tidak dapat melihat adegan yang banyak. Dari perkiraan aku, aku rasa mungkin dalam lebih kurang 5 minit sahaja adegan ‘magic’ dari keseluruhan cerita yang hampir 2 jam 30 minit.

Kenapa tajuknya ada Half-Blood Price? Half-Blood Prince merupakan orang yang membunuh Professor Albus Dumbledore. Di akhir cerita Profesor Dumbledore dibunuh kerana percaya orang kanannya yang juga merupakan Half-Blood Prince. Siapa Half-Blood Price dan apa peranannya dalam cerita ini? Cukup aku boleh katakan Half-Blood Prince adalah orang kanan Professor Dumbledore. Selebihnya aku rasa kalian perlu tonton sendiri. Untuk mengetahui sinopsis novel, boleh rujuk kepada laman web di wikipedia. [Rujuk di sini]

Seperti biasa untuk cerita Harry Potter sebelum ini, akhir cerita Harry Potter tergantung. Aku rasa plot cerita tergantung ini akan disambung dalam siri ke 7 yang akan datang.

Beberapa plot yang aku ingat.

1. Aksi cemburu antara Hermione dengan Ron.
2. Ron mabuk cinta kerana terkena Potion Cinta.
3. Draco bergaduh dengan Harry dalam tandas. Sebab apa? Tonton sendiri.
4. Harry mendapat buku Advance Potion yang sebelumnya di miliki oleh Half-Blood Prince.
5. Harry bercinta dengan adik Ron (Ginny). Macam bercinta tapi tak pasti. Malu-malu kucing aku rasa.
6. Prof. Dumbledore mati disebabkan sumpah Avada Kedavra dibuat oleh Half-Blood Prince.
7. Sumpahan baru Harry, Sectum Sempra, diperolehi dari buku milik Half-Blood Prince dan dicipta oleh Snape.

Transformers

Aku yakin ramai dah tonton cerita ini, sebab dah lama di tayang di pawagam. Berbeza dengan cerita Harry Potter, Transformers kali ini aku rasa sama seperti cerita Transformers yang pertama, tiada perbezaan ketara sangat. Tetapi kepada yang belum menonton, aku cadangkan tonton Transformers sebelum menonton Harry Potter. Dari segi plot cerita, Harry Potter tidak banyak adegan suspens dan menarik berbanding Transformers.

Walau apapun, selamat menonton kepada yang nak menonton cerita Harry Potter.


Tuesday, July 14, 2009

Tiga Cerita untuk Tiga Minggu

Eden Project: Cornwall UK

7.205 Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut (melanggar perintahnya), dan dengan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai.
Chapter: Al-A'raf


Setelah sekian lama, aku rasa hampir kepada tiga minggu, aku tidak membuat sebarang nukilan. Aku runsing kerana menunggu keputusan dari penyelia. Sibuk. Itu mungkin ada pada diari penyelia aku. Penyelia aku cukup sibuk kebelakangan ini, sehinggakan setiap minggu beliau tiada di bilik. Kesibukan dan ketiadaan beliau membuatkan aku juga runsing kerana aku perlu teruskan penyelidikan aku.

Tanpa keputusan dari beliau, aku ibarat belon tanpa tali. Terapung tanpa tahu apa akan berlaku selepas ini. Aku harap aku tidak lalai walaupun aku tidak diberikan keputusan oleh beliau, aku harap bimbingan dari Allah S.W.T untuk teruskan perjuangan ini. Ayat di atas membuatkan aku tabah, memikirkan hanya tuhan sahaja yang mampu membantu dan tahu apa yang akan terjadi selepas ini.
Pening + Runsing = Pesing
Tinggalkan seketika cerita aku dan penyelidikan aku. Walaupun aku tidak dapat meluangkan masa menulis, diam tak diam, aku masih lagi dapat meluangkan masa untuk merehatkan diri. Banyak perkara yang berlaku di sepajang tiga minggu yang lepas. Namun, aku rasa cukup sekadar untuk aku tuliskan ringkasan apa yang telah berlaku dalam diri aku untuk masa yang telah berlalu itu.

Golf

Pertama kali dalam sejarah hidup aku, aku belajar bermain golf. ‘GOLF’, iyer, golf. Mungkin ada pembaca pelik sebab sebelum ini aku tidak pernah terfikir untuk mengayunkan kayu golf tu. Di Malaysia, walaupun golf club berada di belakang pejabat aku, tidak terlintas langsung untuk aku mencuba. Mungkin disebabkan suasana dan tiada rakan yang hendak membawa aku untuk mencuba, tetapi tidak di sini. Walau apa pun, terima kasih kepada Wak, sebab mengajak dan mengajar aku yang tidak tahu langsung apa erti itu golf. Untuk gambar golf. Boleh dilihat dalam facebook. Aku rasa macam tidak sesuai diletakkan dalam blog ini.

XML?

Dua minggu aku habiskan masa dengan XML. Mungkin ada kalian yang tahu apa itu XML. Pada yang tidak tahu, XML, atau Extensible Markup Language merupakan bahasa komputer yang digunakan untuk membuat bahasa meta sendiri. Bahasa Meta? atau Meta Language, pelik juga bunyi dalam Bahasa Malaysia. Mungkin kalian tidak tahu apa itu bahasa meta, contoh paling senang, HTML, atau bahasa meta yang ada dalam laman web, dan selalunya bahasa ini digunakan untuk menghias laman web.

Bersifat statik, HTML membuatkan pengguna terikat dengan struktur yang sedia ada seperti penggunaan <> , <> dsb. Mungkin kalau hendak diceritakan berkenaan HTML, sampai esok aku mampu. Kesimpulannya HTML ialah bahasa meta yang berstruktur dan mempunyai notasi yang statik. Tapi XML lebih dari itu, sama seperti dengan HTML, cuma XML boleh bertindak dengan lebih jauh.

Walau apa pun, aku boleh simpulkan di sini, XML membuatkan aku terpegun dan aku merasakan yang XML akan menjadi bahasa meta yang popular satu hari nanti. Buat masa ini, aku banyak habiskan masa untuk mempelajari XML dan XSLT. Apa itu XSLT? Di sisipan lain, nanti aku sambung cerita apa itu XSLT.

Eden Project

Minggu lepas, untuk menenangkan hati aku, aku luangkan masa bersama rakan pejabat, Shue dan Zarul, melawat Eden Project. Kalau nak bercerita tentang Eden, panjang aku rasa. Kesimpulan yang aku boleh katakan, panas. Untuk makluman, Eden Project merupakan satu kawasan pelancongan di sekitar Cornwall yang menempatkan contoh iklim-iklim di dunia. Contoh cuaca di Malaysia ada di gambarkan di sini. Panas. Panas. Panas.

Aku akhiri sisipan aku kali ini dengan beberapa keping gambar dari Eden Project.



Friday, June 19, 2009

Biasiswa atau Pinjaman:Ke mana dasar kerajaan untuk tahun yang akan datang?

2.153 Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar.
Chapter: Al-Baqarah


Hari ini, keputusan untuk melanjutkan pelajar ke IPTA di Malaysia telah diumumkan. Ada yang gembira dan tidak kurang juga yang berdukacita. Adik aku yang mendapat keputusan cemerlang hari itu, telah ditawarkan melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya dalam bidang Kejuruteraan. Seorang lagi, keturunan aku meneruskan tradisi di universiti tercinta itu.

Untuk pelajar-pelajar yang mendapat tawaran bagi pilihan pertama mereka, tentu mereka gembira, tetapi pada yang lain, mungkin sedikit dukacita. Pada aku walau apa pun tawaran yang ditawarkan, pelajar perlu membuat keputusan yang baik. Mungkin ada hikmah di sebalik tawaran itu. Hari esok kita tidak tahu. Aku dulu, tidak pernah terfikir untuk menjadi sebegini, takdir menentukan segala. Semua ditentukan oleh-Nya. Perjalanan masih jauh, usaha tangga kejayaan, jangan kecewa kerana masih lagi yang lebih malang dari kita.
Untuk nukilan kali ini, agak berat untuk setengan pembaca, aku ingin menarik perhatian untuk berbicara tentang biasiswa. Aku yakin, rata-rata pelajar yang mendapat tawaran pelajaran sekarang sibuk untuk mencari penajaan biasiswa atau paling kurang pun pinjaman dari PTPTN. Bukan niat aku untuk menimbulkan masalah, Cuma sekadar pandangan dengan harapan ada orang di luar sana membaca dan memahami situasi sebenar. Jika aku silap, betulkan aku.

Terdapat banyak biasiswa yang ditawarkan sekarang, cuma aku musykil dan bertanya dengan seribu pertanyaan tentang dasar kerajaan dalam pemberian biasiswa JPA. Baru-baru ini aku terbaca satu laporan akhbar, dari 100% tawaran biasiswa JPA untuk pengajian luar negara, bagi pelajar cemerlang, 68% diberikan kepada bukan Bumiputera dan cuma 32% untuk Bumiputera. Aku hairan dan musykil, dengan angka yang berbeza itu, adakah Bumiputera makin sukar untuk mendapatkan biasiswa? Rujuk [Laman]

Sekali lagi, aku bukan untuk menimbulkan isu perkauman, tetapi pada aku tidak adil untuk hanya 32%, sedangkan Bumiputera adalah majoriti di Malaysia. Tambahan lagi, berikut adalah keratan untuk laporan berita dari akhbar yang sama pada 2 Jun 2008.

“Daripada 2,000 biasiswa yang ditawarkan, 20 peratus dikhaskan kepada pelajar genius tanpa mengira kaum, 10 peratus kepada pelajar dari Sabah dan Sarawak, lima peratus kepada setiap negeri, 10 peratus kepada kumpulan yang kurang beruntung dan selebihnya kepada pelajar mengikut komposisi kaum.”

Dari perkiraan aku, berdasarkan keratan itu, dari 2000 biasiswa hanya 724 sahaja adalah untuk Bumiputera iaitu mewakili hanya 36.2% untuk Bumiputera. Bagaimana aku mengira? Dari 2000 biasiswa, 20% atau 400 biasiswa untuk pelajar genius, 10% atau 200 biasiswa untuk Sabah dan Sarawak, 55% atau 1100 untuk 11 negeri (Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Perak, Kedah, Pulau Pinang, Perlis, Kelantan, Terengganu dan Pahang), 10% atau 200 untuk kumpulan kurang beruntung dan selebihnya hanya 5% atau 50 untuk komposisi kaum.

Pengiraan aku, dengan menggunakan perangkaan di atas sebelum ini, iaitu 32% untuk Bumiputera dan 68% bukan Bumiputera, dari 400 biasiswa hanya 128 diberikan kepada Bumiputera, dan untuk lain-lain masing-masing mewakili 64 orang dari Sabah dan Sarawak dan 352 untuk negeri-negeri lain. Untuk kumpulan kurang beruntung dan komposisi kaum semasa, aku anggarkan 60% adalah Bumiputera, dan masing-masing mewakili 120 dan 60. Maka jumlah hanya 724 biasiswa untuk Bumiputera, iaitu 36.2% untuk Bumiputera, selebihnya?

Oleh yang demikian, aku mengajak pembaca, sama-sama berfikir, ke manakah hala tuju dasar kerajaan untuk pemberian biasiswa kepada Bumiputera. Bukan untuk berniat menidakkan hak untuk bukan Bumiputera, tetapi di manakah hak untuk Bumiputera? Aku faham tentang situasi meritokrasi sekarang ini, tetapi bukankah hak untuk biasiswa untuk Bumiputera sudah termaktub dalam Perlembagaan Malaysia? Di mana silapnya?
Walau apa pun, aku bersyukur kerana aku mendapat biasiswa daripada JPA sejak aku di peringkat sarjana muda sehingga PhD sekarang ini. Cuma aku masih bertanya-tanya, jika ini dasar kerajaan sekarang, adakah Bumiputera yang akan datang punyai peluang seperti aku?


Wednesday, June 10, 2009

Lesen Memandu United Kingdom

39.49 Maka apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, ia segera berdoa kepada Kami; kemudian apabila Kami memberikannya sesuatu nikmat (sebagai kurnia) dari Kami, berkatalah ia (dengan sombongnya): “Aku diberikan nikmat ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku”. (Tidaklah benar apa yang dikatakannya itu) bahkan pemberian nikmat yang tersebut adalah ujian (adakah ia bersyukur atau sebaliknya), akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat itu).
Chapter : Az-Zumar


Gambar sewaktu di Dublin, Ireland

Setelah naik turun, bersusah payah, minta tolong, tidak tidur malam, kepeningan, akhirnya aku berjaya peroleh lesen memandu UK. Sebelum ini, untuk percutian ke Scotland bersama Khairul, Anas dan Afiq, aku pernah cuba untuk meminjam kereta dengan menggunakan lesen memandu Malaysia, tetapi gagal, aku tidak dibenarkan atas sebab tiada permit memandu antarabangsa. Disebabkan itu, aku pun memasang niat untuk mendapatkan lesen memandu UK. Akhir nya hari ini, aku sah mempunyai lesen memandu UK.

Sebagai pelajar dan juga warga negara Malaysia, sebenarnya aku masih boleh menggunakan lesen memandu Malaysia di sini. Lagi pun, kaedah laluan pemanduan di sini sama dengan Malaysia, sebelah kanan. Berbeza dengan kebanyakan negara lain di Eropah seperti Netherlands dan Belgium, pemanduannya di sebelah kiri. Aku pernah berada di sana, agak pelik sedikit laluan pemanduannya, agak berbeza dan kekok jika aku memandu seperti itu.

Seperti yang aku katakan tadi, lesen memandu Malaysia masih lagi sah digunakan di sini, tetapi dengan syarat ia mesti disertakan dengan permit memandu antara bangsa. Untuk pengetahuan, permit memandu antarabangsa berbeza dengan lesen memandu dan ia boleh diperoleh di mana-mana pejabat JPJ. Walaupun begitu, permit tersebut hanya sah digunakan untuk tempoh 1 tahun di sini dari tarikh kemasukan pertama di UK.

Ada di kalangan kawan-kawan aku yang pernah tinggal di sini sebelum ini memberitahu, permit memandu antarabangsa itu boleh diperbaharui tiap-tiap tahun, bermakna tidak perlu ada lesen memandu UK. Tetapi mengikut apa yang aku baca dari laman web yang berkaitan, ia hanya sah untuk tahun pertama sahaja. Pada aku, terpulang kepada pemandu, jika rasa selamat memandu, orang cakap lesen ‘agong’ pun boleh. :).
Lesen memandu UK

Berbeza dengan lesen memandu Malaysia, di sini, lesen memandu UK tidak perlu diperbaharui dalam masa 10 tahun dan sah sehingga umur 70 tahun, iaitu dalam kes aku, 70 tahun adalah jatuh pada 17 Disember 2049. Dan untuk proses pembaharuan lesen aku sekarang hanya perlu diperbaharui pada 5 June 2019. Lama lagi, sempat aku balik ke Malaysia. Pada aku, cara ini lebih mudah kerana lesen tidak perlu diperbaharui seperti di Malaysia.

Untuk tambahan, pelajar-pelajar yang berminat untuk mengambil lesen di sini, boleh, dengan syarat pelajar mempunyai alamat tetap, duduk dan tinggal di sini sekurang-kurangnya 6 bulan. Walau bagaimanapun, ada berita baik untuk pelajar yang mempunyai lesen memandu dari negara-negara seperti Australia, Barbados, British Virgin Islands, Canada, Falkland Islands, Faroe Islands, Hong Kong, Japan, Monaco, New Zealand, Republic of Korea, Singapore, South Africa, Switzerland and Zimbabwe, pelajar boleh menukar terus lesen memandu tersebut kepada lesen memandu UK tanpa menduduki sebarang ujian di UK. Malang bagi pelajar Malaysia, kerana Malaysia bukan dalam senarai nama negara yang berkaitan.

Apa-apa pun, aku tidak perlu risau lagi dengan perihal lesen memandu kerana aku sudah punyai lesen memandu UK. Terima kasih pada rakan-rakan yang membantu aku untuk dapatkan lesen memandu UK. Zalisham yang bawa aku ke DVLA di Exeter dan Ridzuan yang beri banyak maklumat tentang lesen memandu. Tanpa anda berdua, aku mungkin tidak memiliki lesen memandu UK sekarang ini. Lepas dapat lesen, boleh bawa kereta pusing satu UK. :)