Kesibukan pelajar-pelajar di Malaysia pada minggu ini untuk memilih universiti dan kursus yang sesuai untuk mereka melanjutkan pelajaran untuk sesi yang akan datang membuatkan aku terasa untuk menulis sedikit mengenai isu berkaitan dengan universiti. Rata-rata aku yakin pelajar zaman sekarang cukup bijak untuk memilih universiti, namun aku juga yakin masih ada segelintir pelajar yang masih keliru dengan pilihan mereka sekarang, yang mana lebih baik dan mana yang lebih sesuai untuk mereka melanjutkan pelajaran. Banyak persoalan dan juga faktor semasa menjadi pertimbangan mereka.
Tidak kurang juga yang memikirkan tentang masa depan mereka jika mereka memilih satu-satu kursus. Bagi ramai pelajar, pemilihan seperti kursus-kursus terkenal seperti bidang perubatan, kejuruteraan, perguruan dan perundangan dianggap mampu menjamin masa depan mereka. Persoalannya, adakah pemilihan itu sahaja yang menjamin kecemerlangan mereka.
Gambar diambil di Trinity College Dublin, Ireland
Aku cuba lari dari menyentuh isu-isu yang berkaitan dengan faktor individu, oleh yang demikian sisipan kali ini aku cuba untuk lebih fokuskan kepada isu universiti itu sendiri. Faktor-faktor pendorong seperti kedudukan universiti, pelajar, pensyarah, kemudahan dan persekitaran pembelajaran mampu mempengaruhi pelajar dalam memilih universiti dan kursus yang mereka minati untuk sesi yang akan datang. Namun untuk sisipan kali ini aku lebih memfokuskan kepada status universiti itu sendiri.
UniversitiSaban tahun kita dimomokkan oleh maklumat dan informasi yang berkaitan dengan isu-isu universiti. Tidak kurang juga tajuk-tajuk utama dalam berita dalam media utama semasa mengenai isu-isu universiti. Dari isu kedudukan universiti sehingga kepada isu universiti penyelidikan mahupun
universiti APEX. Namun, seperti yang aku katakan tadi, aku percaya pelajar zaman sekarang mampu menilai isu-isu tersebut, dan tetapi adakah pelajar harapan ini mampu untuk memahami konsep universiti yang sebenar?
Universiti APEXMisalnya, pemberian status dan juga pelabelan universiti tempatan seperti universiti APEX dan universiti penyelidikan. Ya, aku yakin, rata-rata pelajar memang terpengaruh dengan pelabelan separti ini. Mungkin jika aku pelajar sekarang, aku akan memilih universiti yang berada di kedudukan tertinggi. Berbalik kepada persoalan pelabelan, oleh sebab pelabelan status ini, aku yakin pelajar cemerlang yang tidak mampu melanjutkan pelajar keluar negara akan memilih di kalangan universiti berstatus seperti ini. Terutama dengan isu universiti APEX yang dianugerahkan kepada
Universiti Sains Malaysia. Tetapi pada pendapat aku, pemilihan USM sebagai universiti APEX tidak bermakna universiti itu sesuai untuk semua pelajar. Perlu diingatkan bahawa matlamat universiti APEX adalah lebih kepada memberi
kuasa autonomi kepada pihak pengurusan universiti dalam pengurusan kewangan, perkhidmatan, pengambilan pelajar dan perkara dalaman universiti itu sendiri. Perlu diingatkan juga pemilihan ini baru sahaja dilakukan tahun lepas, dan dalam tahun-tahun mendatang, masih banyak yang perlu dilakukan oleh USM untuk memastikan ia mampu menjadi universiti APEX pada keseluruhannya.
Gambar diambil di Trinity College Dublin, Ireland
Jika hendak dibandingkan dengan universiti lain, aku teringat kepada pengumuman baru-baru ini tentang kedudukan universiti-universiti di Malaysia di kalangan universiti-universiti ASIA, dan seperti dilaporkan USM masih belum mampu menyaingi
Universiti Malaya (UM) dan
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). UM dan UKM masih lagi di hadapan UM walaupun tidak mendapat status APEX ini. Nah, pasti persoalan timbul di kalangan pelajar kenapa USM masih tidak berada di atas UM mahupun UKM? Benar kata-kata menteri pendidikan baru-baru ini, pemilihan USM sebagai universiti APEX adalah bertujuan untuk melonjakkan kecemerlangan universiti tersebut ke arah bertaraf dunia, dan bukan bermakna ia telah berada di atas. Pada asasnya pemilihan program APEX tidak hanya melihat kepada pencapaian dan kecemerlangan lepas tetapi kepada perancangan masa depan universiti itu untuk mencapai status bertaraf dunia dalam masa lima tahun akan datang.
Lakaran Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat
Oleh yang demikian, pelajar tidak perlu keliru dengan status gah USM itu, yakin dan ketahuilah bahawa masih ada universiti lain seperti UM dan UKM yang masih mempunyai statusnya tersendiri tanpa APEX. Jika aku diberi peluang untuk memilih universiti tempatan, aku pasti akan memilih UM atau UKM kerana aku khuatir aku akan menjadi
bahan ujian di USM, kerana
USM sedang menjalani transformasi yang ketara dalam masa lima tahun akan datang. Jika aku pelajar USM pada ketika itu sudah pasti aku akan diberi pelbagai kaedah dan ujian untuk proses transformasi yang dirancang oleh USM. Dalam pada masa yang sama UM dan UKM yang seperti kita ketahui sudah teruji kecemerlangan akan terus cemerlang.
Universiti PenyelidikanDalam
Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara, terdapat pelbagai status akan diberikan kepada universiti tempatan termasuk status sebagai Universiti APEX, Universiti Elit dan Universiti Kompetitif. Namun, aku tidak mampu untuk membincangkan topik itu kerana aku sendiri masih tidak tahu apa kriteria yang ditentukan oleh pelan tersebut untuk jenis-jenis status ini.
Yang pasti sekarang aku cuma tahu, sekarang hanya terdapat universiti penyelidikan dan universiti APEX seperti yang diberitahu tadi.
Persoalannya, perlu atau tidak pelajar memilih universiti berstatus seperti ini? Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan
Universiti Putra Malaysia (UPM) adalah contoh universiti penyelidikan. Sebelum ini USM adalah di kalangan universiti penyelidikan tetapi statusnya berubah kepada universiti APEX. Sekali lagi,sebelum aku teruskan berbicara aku ingin berkongsi tentang apa yang dimaksudkan dengan universiti penyelidikan.
Tidak seperi universiti APEX, ciri-ciri
universiti penyelidikan lebih bermatlamatkan kepada
meningkatkan aktiviti penyelidikan dan meningkatkan kemasukan pelajar pasca siswazah dan kedoktoran. Di samping meningkatkan kedudukan di kalangan universiti dunia dan status seperti universiti APEX, nisbah siswazah dan pascasiswazah akan disamakan. Oleh yang demikian, pada pendapatan aku, tiada kelebihan kepada pelajar baru untuk menjadikan status universiti penyelidikan sebagai sebab dan faktor utama pemilihan. Ini kerana pada aku, universiti penyelidikan adalah lebih kepada penyelidikan di peringkat pascasiswazah (ijazah master dan PhD), pelajar siswazah masih sama.
Namun seperkara yang aku ingin kongsi bersama, lari sedikit dari topik asal. Persoalan tentang arus perdana dalam mengejar status universiti APEX mahupun universiti penyelidikan. Seperti universiti aku sendiri, aku lihat pengambilan pelajar siswazah makin dikurangkan, jika dahulu aku mempunyai hampir 500 rakan-rakan sekuliah atau sefakulti, tetapi sekarang cuma tinggal berapa ratus sahaja pengambilan pelajar baru, dan tidak kurang juga dengan pengambilan kurang dari 100 pelajar. Seperti kata rakan se-universiti, apa guna dengan status jika kita mengurangkan latihan dan pengajaran untuk anak bangsa kita sendiri. Penabalan universiti tempatan seperti universiti APEX, universiti penyelidikan atau universiti berstatus dunia perlu seiring dengan pengambilan pelajar terbaik dalam kuantiti yang banyak. Acap tahun kita mendapat tahu ramai pelajar cemerlang tidak dapat masuk ke universiti seperti ini kerana kurang tempat.
Pada aku, seharusnya bakal siswazah Malaysia yang cemerlang ini perlu diberi peluang untuk belajar di universiti yang cemerlang seperti UM, UKM dan USM tadi, dan bukan dengan mengurangkan pengambilan semata-mata untuk meningkatkan status, akhirnya anak bangsa terpaksa belajar di universiti yang belum nampak kecemerlangannya. Kenyataannya sekarang, secara realiti aku lihat, universiti yang mengejar status seperti ini sudah cenderung untuk mengurangkan pengambilan pelajar.
Berbalik kepada persoalan pemilihan tadi, pada aku, status universiti APEX dan universiti penyelidikan adalah lebih memfokuskan kepada isu masa depan universiti. Tiada kaitan secara langsung dengan pelajar, tetapi aku yakin masih ada pelajar yang memilih universiti berdasarkan status ini. Pelajar harus bijak untuk memilih kursus dengan melihat faktor-faktor lain dan bukan kepada status semata-mata. Faktor-faktor lain seperti bilangan pelajar dalam kelas, pensyarah, kemudahan dan persekitaran pembelajaran adalah faktor lain yang harus dilihat. Tetapi aku percaya,
faktor ini sukar diukur oleh bakal pelajar kerana mereka tidak mampu mengukur dan melibat sendiri apa yang berlaku di universiti. Yang mereka tahu ketika ini adalah semata-mata kedudukan dan status universiti itu sendiri. Mungkin saudara terdekat mampu mempengaruhi pelajar dengan memberi input seperti faktor lain yang dikatakan tadi, dan adakah mereka ini mampu untuk menidakkan status semasa universiti itu sendiri?
Adakah hanya ini yang diperlukan oleh pelajar kita?
Gambar adalah gambar pelajar-pelajar aku yang tamat pengajian di Universiti Malaya
Persoalan untuk menyatakan universiti berstatus ini baik atau tidak hanya subjektif. Pada aku, ianya mungkin boleh menjadi satu panduan, tetapi bukan faktor utama. Pada aku, kedudukan sebenar lebih mencerminkan universiti itu sendiri dari status yang diberikan oleh kerajaan.
Aku rasa cukup dahulu untuk sisipan kali ini. Aku doakan semoga maju jaya kepada pelajar yang memilih universiti anda. Pilih berdasarkan minat dan jangan semata-mata kerana status universiti itu. Sekurang-kurangnya aku yakin, aku mampu untuk memberi sedikit ruang kepada pelajar untuk memikir semula sama ada status sekarang penting atau tidak?
Sampai jumpa lagi. Assalamualaikum.