Live feed from My Flickr

Friday, June 19, 2009

Biasiswa atau Pinjaman:Ke mana dasar kerajaan untuk tahun yang akan datang?

2.153 Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar.
Chapter: Al-Baqarah


Hari ini, keputusan untuk melanjutkan pelajar ke IPTA di Malaysia telah diumumkan. Ada yang gembira dan tidak kurang juga yang berdukacita. Adik aku yang mendapat keputusan cemerlang hari itu, telah ditawarkan melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya dalam bidang Kejuruteraan. Seorang lagi, keturunan aku meneruskan tradisi di universiti tercinta itu.

Untuk pelajar-pelajar yang mendapat tawaran bagi pilihan pertama mereka, tentu mereka gembira, tetapi pada yang lain, mungkin sedikit dukacita. Pada aku walau apa pun tawaran yang ditawarkan, pelajar perlu membuat keputusan yang baik. Mungkin ada hikmah di sebalik tawaran itu. Hari esok kita tidak tahu. Aku dulu, tidak pernah terfikir untuk menjadi sebegini, takdir menentukan segala. Semua ditentukan oleh-Nya. Perjalanan masih jauh, usaha tangga kejayaan, jangan kecewa kerana masih lagi yang lebih malang dari kita.
Untuk nukilan kali ini, agak berat untuk setengan pembaca, aku ingin menarik perhatian untuk berbicara tentang biasiswa. Aku yakin, rata-rata pelajar yang mendapat tawaran pelajaran sekarang sibuk untuk mencari penajaan biasiswa atau paling kurang pun pinjaman dari PTPTN. Bukan niat aku untuk menimbulkan masalah, Cuma sekadar pandangan dengan harapan ada orang di luar sana membaca dan memahami situasi sebenar. Jika aku silap, betulkan aku.

Terdapat banyak biasiswa yang ditawarkan sekarang, cuma aku musykil dan bertanya dengan seribu pertanyaan tentang dasar kerajaan dalam pemberian biasiswa JPA. Baru-baru ini aku terbaca satu laporan akhbar, dari 100% tawaran biasiswa JPA untuk pengajian luar negara, bagi pelajar cemerlang, 68% diberikan kepada bukan Bumiputera dan cuma 32% untuk Bumiputera. Aku hairan dan musykil, dengan angka yang berbeza itu, adakah Bumiputera makin sukar untuk mendapatkan biasiswa? Rujuk [Laman]

Sekali lagi, aku bukan untuk menimbulkan isu perkauman, tetapi pada aku tidak adil untuk hanya 32%, sedangkan Bumiputera adalah majoriti di Malaysia. Tambahan lagi, berikut adalah keratan untuk laporan berita dari akhbar yang sama pada 2 Jun 2008.

“Daripada 2,000 biasiswa yang ditawarkan, 20 peratus dikhaskan kepada pelajar genius tanpa mengira kaum, 10 peratus kepada pelajar dari Sabah dan Sarawak, lima peratus kepada setiap negeri, 10 peratus kepada kumpulan yang kurang beruntung dan selebihnya kepada pelajar mengikut komposisi kaum.”

Dari perkiraan aku, berdasarkan keratan itu, dari 2000 biasiswa hanya 724 sahaja adalah untuk Bumiputera iaitu mewakili hanya 36.2% untuk Bumiputera. Bagaimana aku mengira? Dari 2000 biasiswa, 20% atau 400 biasiswa untuk pelajar genius, 10% atau 200 biasiswa untuk Sabah dan Sarawak, 55% atau 1100 untuk 11 negeri (Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Perak, Kedah, Pulau Pinang, Perlis, Kelantan, Terengganu dan Pahang), 10% atau 200 untuk kumpulan kurang beruntung dan selebihnya hanya 5% atau 50 untuk komposisi kaum.

Pengiraan aku, dengan menggunakan perangkaan di atas sebelum ini, iaitu 32% untuk Bumiputera dan 68% bukan Bumiputera, dari 400 biasiswa hanya 128 diberikan kepada Bumiputera, dan untuk lain-lain masing-masing mewakili 64 orang dari Sabah dan Sarawak dan 352 untuk negeri-negeri lain. Untuk kumpulan kurang beruntung dan komposisi kaum semasa, aku anggarkan 60% adalah Bumiputera, dan masing-masing mewakili 120 dan 60. Maka jumlah hanya 724 biasiswa untuk Bumiputera, iaitu 36.2% untuk Bumiputera, selebihnya?

Oleh yang demikian, aku mengajak pembaca, sama-sama berfikir, ke manakah hala tuju dasar kerajaan untuk pemberian biasiswa kepada Bumiputera. Bukan untuk berniat menidakkan hak untuk bukan Bumiputera, tetapi di manakah hak untuk Bumiputera? Aku faham tentang situasi meritokrasi sekarang ini, tetapi bukankah hak untuk biasiswa untuk Bumiputera sudah termaktub dalam Perlembagaan Malaysia? Di mana silapnya?
Walau apa pun, aku bersyukur kerana aku mendapat biasiswa daripada JPA sejak aku di peringkat sarjana muda sehingga PhD sekarang ini. Cuma aku masih bertanya-tanya, jika ini dasar kerajaan sekarang, adakah Bumiputera yang akan datang punyai peluang seperti aku?


Wednesday, June 10, 2009

Lesen Memandu United Kingdom

39.49 Maka apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, ia segera berdoa kepada Kami; kemudian apabila Kami memberikannya sesuatu nikmat (sebagai kurnia) dari Kami, berkatalah ia (dengan sombongnya): “Aku diberikan nikmat ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku”. (Tidaklah benar apa yang dikatakannya itu) bahkan pemberian nikmat yang tersebut adalah ujian (adakah ia bersyukur atau sebaliknya), akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat itu).
Chapter : Az-Zumar


Gambar sewaktu di Dublin, Ireland

Setelah naik turun, bersusah payah, minta tolong, tidak tidur malam, kepeningan, akhirnya aku berjaya peroleh lesen memandu UK. Sebelum ini, untuk percutian ke Scotland bersama Khairul, Anas dan Afiq, aku pernah cuba untuk meminjam kereta dengan menggunakan lesen memandu Malaysia, tetapi gagal, aku tidak dibenarkan atas sebab tiada permit memandu antarabangsa. Disebabkan itu, aku pun memasang niat untuk mendapatkan lesen memandu UK. Akhir nya hari ini, aku sah mempunyai lesen memandu UK.

Sebagai pelajar dan juga warga negara Malaysia, sebenarnya aku masih boleh menggunakan lesen memandu Malaysia di sini. Lagi pun, kaedah laluan pemanduan di sini sama dengan Malaysia, sebelah kanan. Berbeza dengan kebanyakan negara lain di Eropah seperti Netherlands dan Belgium, pemanduannya di sebelah kiri. Aku pernah berada di sana, agak pelik sedikit laluan pemanduannya, agak berbeza dan kekok jika aku memandu seperti itu.

Seperti yang aku katakan tadi, lesen memandu Malaysia masih lagi sah digunakan di sini, tetapi dengan syarat ia mesti disertakan dengan permit memandu antara bangsa. Untuk pengetahuan, permit memandu antarabangsa berbeza dengan lesen memandu dan ia boleh diperoleh di mana-mana pejabat JPJ. Walaupun begitu, permit tersebut hanya sah digunakan untuk tempoh 1 tahun di sini dari tarikh kemasukan pertama di UK.

Ada di kalangan kawan-kawan aku yang pernah tinggal di sini sebelum ini memberitahu, permit memandu antarabangsa itu boleh diperbaharui tiap-tiap tahun, bermakna tidak perlu ada lesen memandu UK. Tetapi mengikut apa yang aku baca dari laman web yang berkaitan, ia hanya sah untuk tahun pertama sahaja. Pada aku, terpulang kepada pemandu, jika rasa selamat memandu, orang cakap lesen ‘agong’ pun boleh. :).
Lesen memandu UK

Berbeza dengan lesen memandu Malaysia, di sini, lesen memandu UK tidak perlu diperbaharui dalam masa 10 tahun dan sah sehingga umur 70 tahun, iaitu dalam kes aku, 70 tahun adalah jatuh pada 17 Disember 2049. Dan untuk proses pembaharuan lesen aku sekarang hanya perlu diperbaharui pada 5 June 2019. Lama lagi, sempat aku balik ke Malaysia. Pada aku, cara ini lebih mudah kerana lesen tidak perlu diperbaharui seperti di Malaysia.

Untuk tambahan, pelajar-pelajar yang berminat untuk mengambil lesen di sini, boleh, dengan syarat pelajar mempunyai alamat tetap, duduk dan tinggal di sini sekurang-kurangnya 6 bulan. Walau bagaimanapun, ada berita baik untuk pelajar yang mempunyai lesen memandu dari negara-negara seperti Australia, Barbados, British Virgin Islands, Canada, Falkland Islands, Faroe Islands, Hong Kong, Japan, Monaco, New Zealand, Republic of Korea, Singapore, South Africa, Switzerland and Zimbabwe, pelajar boleh menukar terus lesen memandu tersebut kepada lesen memandu UK tanpa menduduki sebarang ujian di UK. Malang bagi pelajar Malaysia, kerana Malaysia bukan dalam senarai nama negara yang berkaitan.

Apa-apa pun, aku tidak perlu risau lagi dengan perihal lesen memandu kerana aku sudah punyai lesen memandu UK. Terima kasih pada rakan-rakan yang membantu aku untuk dapatkan lesen memandu UK. Zalisham yang bawa aku ke DVLA di Exeter dan Ridzuan yang beri banyak maklumat tentang lesen memandu. Tanpa anda berdua, aku mungkin tidak memiliki lesen memandu UK sekarang ini. Lepas dapat lesen, boleh bawa kereta pusing satu UK. :)

Saturday, June 06, 2009

RM60 untuk sepinggan nasi beriani?


Hurra Potato £4

RM60 untuk sepinggan nasi beriani? Ya, benar, itu lah harga yang perlu dibayar oleh aku dan rakan-rakan untuk sepinggan nasi beriani di Plymouth. Pelik dan Mahal? tapi itu adalah harga biasa yang diperlu dibayar oleh pengunjung di Restoran Al-Busha. Jika dihitung, dengan nilai RM60, di Malaysia, aku mampu untuk dapatkan 5-6 pinggan nasi beriani di kedai mamak di sekitar Kajang. Jika ditukar kepada nilai di sini, ia sebenarnya bernilai cuma £8 untuk sepinggan nasi beriani.

Dua hari yang lepas, untuk memenuhi jemputan rakan di Plymouth, aku bersama rakan-rakan PhD menjamah nasi beriani di sini. Walaupun harganya agak mahal, namun ia masih dianggap berbaloi kerana ia memenuhi selera aku. Lokasi tidak jauh dari University of Plymouth, hanya mengambil 10 minit untuk berjalan ke kedai tersebut. Untuk makluman, restoran ini merupakan restoran baru di sini dan sebelum ini, aku sebenarnya pernah menikmati makanan yang sama dengan harga yang agak murah, sekitar £6.

Walaupun ada diskaun 10% untuk pelajar, kami dikenakan 15% untuk cukai

Untuk nukilan kali ini, aku ingin berkongsi pengalaman mengenai perbelanjaan bulanan bagi kebanyakan pelajar bujang yang melanjutkan pelajaran dalam program lepasan ijazah di Plymouth, United Kingdom. Perbelanjaan ini mungkin boleh menjadi panduan kepada mereka yang berhajat untuk melanjutkan pelajaran di sini. Ia khas untuk pelajar bujang sahaja, kerana perbelanjaan untuk keluarga agak berbeza dan aku tidak mampu untuk kongsi bersama.

Untuk elaun, pada ketika sisipan ini ditulis, disebabkan Plymouth City dikategorikan sebagai kawasan berkategori C, maka pelajar lepasan ijazah yang melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana dan doktor falsafah akan diberi sebanyak £748. Berbeza dengan pelajar di sekitar London (Kawasan A) dan Guidlford (Kawasan B), masing-masing menerima £1093 dan £920. Jika hendak dibandingkan dengan London dan Guildford, sepanjang aku di sini, aku rasa dengan nilai £748, aku mampu untuk berbelanja dengan baik tanpa menggunakan sebarang sumber kewangan lain dari Malaysia. Walaupun aku masih lagi dibayar gaji di Malaysia, aku bersyukur kerana buat masa ini aku tidak lagi menyentuhnya untuk perbelanjaan aku di sini.

Sebagai seorang yang tidak berkeluarga, dengan nilai elaun sebanyak £748, aku mampu membayar sewa bilik dan perbelanjaan harian yang lain. Di sebalik elaun yang di anggap rendah oleh kebanyakan pelajar di sini, aku masih bersyukur kerana harga bilik di sini agak berpatutan berbanding tempat lain seperti di London. Namun, jika hendak dibandingkan dengan harga bilik di sekitar Midlands, Nottingham dan Manchester, harga di sini boleh dikategorikan sebagai mahal, kerana di sini aku terpaksa membayar separuh dari elaun aku hanya untuk sewa bilik dan utiliti (elektrik, internet, air dan gas). Menurut rakan aku yang penah tinggal di kawasan Nottingham, dengan harga £350 yang dibayar oleh aku untuk sebuah bilik di sini, aku mampu menyewa sebuah rumah satu bilik di sekitar Nottingham atau Manchester.

Nasi Ayam Kabsa (£8)

Untuk membezakan perbelanjaan di sini berbanding Malaysia, aku gunakan tiga perkara asas sebagai perbandingan iaitu telefon bimbit, kereta dan makanan. Pertamanya, pensyarah di Malaysia dibayar di sekitar RM3000-RM4000, manakala pensyarah di sini dibayar sekitar £2000-£3000. Jika dibandingkan dengan nilai kita boleh katakan bahawa nilai pensyarah di sini besar, tetapi untuk harga makanan, sebenarnya ia sama. Sebagai contoh, sebotol air mineral, kita boleh beli dengan harga sekitar RM1-RM2 di Malaysia dan £1-£2 di UK. Sehidang makanan segera seperti KFC dan McD, di Malaysia kita boleh dapat dalam sekitar RM8-RM10, manakala di UK, untuk hidangan yang hampir sama, aku lihat harganya sekitar £8-£10 (aku tidak pernah membeli, oleh sebab itu aku tidak tahu rasanya sama atau tidak). Dari segi nombor, harga makanan di sini sama dengan harga di Malaysia.

Namun, berbeza dengan telefon bimbit, rata-rata rakyat Malaysia perlu membelanjakan 100% gaji mereka untuk membeli telefon bimbit, malah ada yang terpaksa menunggu lebih dari 1 bulan. Sebagai contoh tadi, pensyarah di Malaysia perlu membelanjakan 100% duitnya untuk mendapatkan sebuah telefon bimbit terkini, tetapi pensyarah di sini hanya perlu mengeluarkan 25% duit gaji mereka untuk mendapatkan telefon bimbit yang sama. Ya, harga telefon bimbit di sini murah, tetapi perlu diingatkan, perbezaan 75% kuasa membeli antara pensyarah di sini dan Malaysia menunjukkan kuasa membeli mereka tinggi.

Kari kepala Ikan, dimasak oleh Zarul. Sekilo ikan £10.

Manakala untuk sebuah kereta, untuk mendapatkan kereta berjenama BMW, pensyarah di sini perlu membayar sebanyak £30K++ untuk mendapatkan kereta mewah, tetapi di Malaysia, dengan hanya RM30K++, aku tidak pasti apa jenis kereta yang mampu dipakai oleh mereka kerana untuk harga sebuah Wira, pensyarah di Malaysia terpaksa membayar hampir RM50K++. Ini bermakna kuasa pembeli pensyarah di Malaysia amat jauh berbanding dengan kuasa membeli pensyarah di sini.

Aktiviti masak-masak di Plymouth. Tukang masak En. Zarul. Harga tanya tuan punya badan :)

Jika hendak dibandingkan perbelanjaan di Malaysia dengan di sini, pada pendapat aku, di Malaysia aku mampu untuk membeli makanan dengan murah tetapi tidak mampu untuk hidup selesa seperti di UK. Untuk mendapatkan sebuah kereta BMW, aku terpaksa membayar sehingga RM180K++ dan 100% gaji untuk sebuah telefon bimbit. Apa pendapat anda?

Di sebalik kuasa membeli yang besar, aku bersyukur menjadi rakyat Malaysia, kerana Malaysia mempunyai banyak perkara yang tiada di UK. Aku rasa cukup untuk sisipan kali ini, aku akan sambung untuk sisipan akan datang. Banyak pertembungan budaya yang berlaku di sini, dan insya-Allah, jika diberi peluang aku akan kongsi bersama.

Thursday, June 04, 2009

Terima kasih atas teguran

4.149 . Jika kamu melahirkan sesuatu kebaikan, atau sembunyikannya atau kamu memaafkan kesalahan, maka sesungguhnya Allah adalah Maha Pemaaf, lagi Maha Kuasa.
Chapter : An-Nisaa
Rakan-rakan,

Terima kasih atas teguran yang di berikan berkenaan dengan sisipan semalam. Aku minta maaf andai kata penulisan semalam di sini bukan saluran yang betul untuk aku menegakkan benda yang benar. Aku cuma meluahkan apa yang aku rasa. Nukilan semalam bukan menggambarkan aku sepenuhnya. Bukan. Aku nafikan. Andai kata ia mengubah persepsi kalian terhadap aku, aku tiada halangan, hak kalian, dan aku tidak mampu nafikan. Aku cuma berdoa agar tuhan beri kekuatan kepada aku untuk menghadapi cabaran ini. Mungkin aku silap, gunakan saluran ini untuk meluahkan perasaan. Tetapi percayalah aku punya sebab tersendiri, jika sisipan semalam dipandang negatif, negatif jadinya, jika ia dipandang positif, positif jadinya.

Teringat orang pernah berkata, mata pena lebih tajam dari pisau, sekali terkena, sakitnya dalam terasa, walaupun bukan menggunakan pena untuk menulis sisipan ini, hanya jari, sakitnya jua sama.

Walaupun begitu, aku sekali lagi, dengan rendah diri, memohon seribu ke-maaf-an atas sisipan semalam. Maaf aku tidak mampu untuk membuang sisipan semalam, kerana pada aku, ia satu pengajaran kepada aku, agar aku jadikan sempadan untuk tidak mengulanginya di masa akan datang.

Wednesday, June 03, 2009

Ketulusan atau ketelusan?

31.22 . Dan sesiapa yang berserah diri kepada Allah (dengan ikhlas) sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh; dan kepada Allah jualah kesudahan segala urusan.
Chapter : Luqman

Pernyataan Umum: Nukilan di bawah mampu menggugat emosi anda, jika anda tidak mampu untuk mengawalnya, harap dapat meninggalkan sisipan ini. Kegagalan mengawal emosi anda akan membuatkan perasaan anda marah kepada penulis. Jika itu terjadi, penulis tidak bertanggungjawab atas kegagalan anda mengawal emosi. Sejuta ke-maaf-an di pohon atas keterlanjuran kata-kata dalam sisipan ini.


Dua perkataan, ketulusan dan ketelusan, kadangkala susah untuk kita tunjukkan yang kita benar-benar tulus dan telus dalam perbuatan kita. Dari kata asal tulus, bermakna ikhlas, dan dalam erti kata lain ikhlas dalam membuat sesuatu perkara tanpa ada perkara di sebaliknya. Bermakna tiada berselindung dan bercakap perkara yang benar tanpa prejudis. Manakala telus, bermakna berterus-terang. Hampir sama tetapi berbeza.

Namun, kejadian yang menimpa aku dalam dua tiga hari ini membuatkan aku terpanggil untuk menulis sedikit perkara yang bercerita tentang ketulusan dan ketelusan. Pedih tetapi aku tenang, hakikatnya benar. Katakan yang benar walaupun pedih, begitulah bunyi kata-kata yang aku selalu dengar dari rakan-rakan aku. Cuma apa yang aku mahu coretkan di sini mungkin sedikit sebanyak akan menghiris perasaan orang lain. Tetapi niat aku hanya untuk meluahkan apa yang aku rasa, tidak lebih dari itu dan tak kurang dari itu. Aku mahu menjernihkan yang keruh, tidak mahu ada masalah di kemudian hari.

Teringat aku akan bibit-bibit lagu 'Ketulusan Hati' nyanyian Anuar Zain, menceritakan tentang ketulusan dan keikhlasan cinta manusia, tetapi sedikit berlainan dari entri aku kali ini, cerita aku lebih kepada perkara yang umum, tindak tanduk manusia yang aku rasa kadang kala buat aku malas untuk mengambil tahu dan malas untuk hidup bermasyarakat. Tapi, kalau tak ambil tahu, dikatakan kita tidak pandai hidup bermasyarakat pula, dan kalau terlebih ambil tahu, dikatakan menjaga tepi kain orang dan terlalu memberatkan benda yang ringan. Manusia tiada yang sempurna, aku jua begitu, tidak sempurna, tetapi aku bersyukur aku tidak jahil.

Tapi kejadian yang menimpa aku, membuatkan aku terfikir semula sama ada benar atau tidak tindakan aku, atau tindakan mereka yang salah. Bak orang kata, jangan cuba salahkan orang lain dahulu, lihat kelemahan pada diri sendiri, jika benar kita tiada kesilapan, anggap kesilapan mereka sempadan bagi kita agar kita tidak mengulangi perkara yang sama seperti mereka. Betul, aku setuju dengan pernyataan berasas itu, tetapi persoalannya jika kesalahan itu nampak jelas pada mereka, adakah kita patut dipersalahkan lagi?

Semestinya, lumrah alam dalam hidup bermasyarakat, ada orang sukakan kita dan tak kurang juga orang yang membenci kita. Berbalik kepada ketulusan dan ketelusan tadi, aku cuba untuk kiaskan perkara yang berlaku di sekitar aku. Untuk mengelakkan dari pihak yang terbabit terasa, aku cuba untuk membuat pembayangan. Sebelum itu, aku memohon maaf jika ada yang terasa, aku mohon seribu kemaafan.

Ceritanya begini, bayangkan jika satu pilihan raya dijalankan, dijalankan untuk membuat pilihan sama ada memilih wakil rakyat A atau wakil rakyat B. Katakan, kita tahu jumlah pengundi asal hanya 30 orang sahaja. Masing-masing pengundi mengundi pilihan masing-masing (wakil rakyat A atau B). Pengundian habis, tapi tanpa makluman dan pengumuman kepada umum tentang kemenangan, tiba-tiba wakil rakyat A membuat mesyuarat pembentukan jawatankuasa (mungkin tanda kemenangan, betulkan aku jika andaian ini salah), tanpa maklumkan sebahagian penyokong yang menyokong wakil rakyat B. Pelik kan. Memang ada penyokong yang tidak menyokong wakil rakyat A, tetapi sekurang-kurangnya, maklumkan kepada semua pengundi melalui media utama tentang kemenangan wakil rakyat A. Baru lah, penyokong wakil rakyat B nampak ada ketulusan dan ketelusan dalam pemilihan itu. Bertambah pelik, jika jumlah asal pengundi seramai 30 pengundi, tiba-tiba dimaklumkan bertambah menjadi 35 undi, dan disebabkan tambahan 5 undi ini, wakil rakyat A menang. Lagi haru kan, macam pengundi hantu pula aku rasakan.

Aku cuma dapat tahu bila aku bertanya, jika aku tidak bertanya, bermakna aku tidak tahu tentang apa yang dirancangkan oleh penyokong 'wakil rakyat A'. Bila ditanya, aku dimaklumkan bahawa aku penyokong 'wakil rakyat B' dan tidak menyokong 'wakil raykat A', maka aku tidak perlu tahu keputusan kemenangan. Aku bukan hendak memperbesarkan cerita, tetapi aku cuma sekadar untuk meluahkan perasaan aku. Aku bukan hendak menentang penubuhan jawatankuasa ‘wakil rakyat A’, tetapi aku mahu ia telus dan tulus. Umumkan kemenangan melalui saluran media utama, bukan dengan membuat andaian, di sebabkan kita penyokong wakil rakyat B, kita dilihat sebagai pembangkang 100% dan tidak berminat sama sekali. Tidak telus dan tulus namanya. Namun aku akur, dan terima keputusan yang telah ditentukan oleh mereka. Aku malas hendak bercerita lebih panjang. Cukup untuk sisipan blog ini sahaja.

Walaupun aku menyokong ‘wakil rakyat B’, tewas, tetapi sekurang-kurangnya aku mahukan ketelusan dan ketulusan. Itu sahaja. Kalau nak dikatakan dimaklumkan kepada umum, aku tidak menerima sebarang berita sebelum aku bertanya, begitu juga dengan penyokong ‘wakil rakyat B’ yang lain. Aku terima kekalahan sebagai satu adat pemilihan, tetapi ketelusan dan ketulusan itu sebenarnya menggambarkan betapa ikhlas dan jujur sebenarnya kita dalam membuat apa jua keputusan. Andai kata andaian aku silap, betulkan aku, aku masih belum jahil dan boleh dinasihati lagi.

Aku rasa cukup untuk kali ini, rakan ku minta aku letakkan lagu ‘Ketulusan Hati’ dalam sisipan kali ini. Walaupun lagu tersebut tiada kaitan dengan sisipan ini, tapi dengarkan sahaja. Aku cuma berdoa agar mereka ini bahagia dengan keputusan mereka, dan aku tutup cerita ini, hanya disini, hanya di blog ini sahaja.

Assalamualaikum.


Monday, June 01, 2009

Panas, Panas, Panas

Gambar musim panas di Plymouth, UK

"Panas panas panas panas, Badan ini"
"Pusing pusing pusing pusing, Kepala ini"

Huh, begitulah bunyi lirik lagu 'Nakal" dari kumpulan Gigi. Panas sungguh minggu lepas. Tidak cukup dengan cuaca yang panas, ditambah juga perkara-perkara lain yang turut menyumbangkan kepanasan hati dan badan. Dari kes curi di rumah aku sehingga kepada kes tidak puas hati di kalangan warga Malaysia di sini (kes ini aku malas nak cerita).

Roland Levinsky, University of Plymouth

Cuaca di Plymouth.

Sejak minggu lepas, cuaca di sini sungguh panas. Cuaca di sini agak panas, pada aku, bukan agak panas tetapi sudah mencecah 26°C. Walaupun aku tahu sekarang ini adalah di akhir musim bunga dan permulaan musim panas, namun cuaca yang panas sejak dua tiga hari yang lepas membuatkan aku rimas, pening dan hampir demam. Demam? Aha, aku hampir demam minggu lepas. Selepas pulang dari ber‘picnic’ di Bournemouth, aku memang nak demam. Aku cuba lawan. Pergi gym dan lakukan senaman ringan. Alhamdulillah aku dapat atas masalah itu, tetapi produktiviti aku minggu lepas menurun. Aku rasa aku tidak lakukan apa-apa perkara yang berkaitan dengan kerja, mungkin aku kurang sihat. Aku malas nak berfikir terlalu banyak mengenai kerja, lalu aku tinggalkan semua kerja, sebaliknya aku hanya lakukan kerja yang termampu. Mood untuk membuat penyelidikan memang menurun minggu lepas.

University of Plymouth, UK

Berbalik dengan kes cuaca panas di Plymouth, yang kini mencecah 26°C, dianggap rendah bagi rakan-rakan di Malaysia yang sekarang mencecah 37°C. Rendah memang rendah, tetapi bezanya di Malaysia ada hujan di sebelah petang, di sini, panas sepanjang hari tanpa hujan. Kering sentiasa, membuatkan kepala otak aku kering dan pening. Setidak-tidaknya di Malaysia cuaca nya panas dan lembap, di sini, panas dan kering.

Waktu petang di Plymouth, UK. 9.00 malam GMT.

Dengan perubahan cuaca dan waktu sekarang, aku rimas. Mana tidaknya, jika di Malaysia, pukul 5.30 pagi matahari masih lagi tidak kelihatan, tetapi di sini, 5.30 pagi sudah cerah dan jam 9 malam baru maghrib. So, bayangkan kecerahan melampau dari jam 5.30 pagi sampai 9.00 malam, ditambah dengan suhu bilik yang panas tanpa ‘aircond’, macam mana nak aku lelapkan mata. Huh..susah, sungguh susah. Setidak-tidaknya di Malaysia aku ada ‘aircond’ untuk tidur, di sini, nak cari ‘aircond’, mimpi pun aku tak dapat. Orang anggap pelik kalau aku tertiba nak letak ‘aircond’ dalam bilik. Landlady aku mesti minta sewa sewa lebih kalau aku nak tambah aircond.:).

Bulan di siang hari? Masa 9.00 malam.

Kes Curi

Panas, begitu la aku dapat katakan keadaan hati aku sekarang. Bukan apa, bermula dengan gula, cheese (keju), roti, bawang, ayam, kentang, telur, buah epal dan sekarang ais krim pun dia nak kebas. Aku pun tak tahu la, apa jenis manusia yang makan dan mencuri makanan. Mungkin dia kafir, itu yang aku mampu fikirkan, sebab itu juga dia tidak perlu risau tentang barang yang dia curi. Aku bukan hendak tuduh, tetapi benda ini kerap sangat berlaku. Semua benda yang aku ada letak di dapur, semua nya nak diambil. Nak kata tak ada duit, semuanya orang tempatan, British lagi. Aku pun tak tahu nak buat macam mana lagi, cuma aku doakan satu hari nanti dia sedar apa yang dia buat. Nak halalkan pun dia kafir, tak tahu nak cakap apa lagi. Last-last sekarang aku letakkan semua barang dalam bilik aku. Sebab tu dia dah tak ada barang nak curi, habis ais krim aku dia kebas, ais krim tak boleh letak dalam bilik, tak ada peti ais dalam bilik. Kalau dah ada, dah lama aku letakkan dalam bilik aku.

Aku malas nak bercerita fasal kes curi ini, kalau lagi fikirkan, lagi panas aku rasa, dah la cuaca yang panas, di tambah dengan hati yang panas. Panas kuasa dua jadi kang. Kalau la aku ada doa-doa kasi dia segan ambil barang tu semua, kan baik. Tapi aku tak ada. Geram aku rasa, rasa macam nak letak jer CCTV kat dapur tu, tengok sapa sebenarnya cik tikus British.

Masak sate di rumah belakang rumah Zarul

Sate di Plymouth??

Last entri untuk kali ini, aku bersama rakan-rakan di Plymouth luangkan masa pada hari Sabtu lepas dengan membakar sate. Masak sate kat rumah Zarul, tak banyak yang kita orang masak, tapi cukup untuk dalam 100 cucuk. Kalau nak tunggu pergi ke London, aku rasa kempunan la aku nak makan sate. Zarul cakap, kat London 5 cucuk sate dengan sedikit nasi himpit+bawang+timun boleh mencecah £5. Huh, dari makan sate kat London, lebih baik aku masak sendiri. Walaupun tak sama dengan rasa sate Kajang, tapi sekurang-kurangnya ada nasi himpit segera.:)

Okla, aku rasa dah panjang entri kali ini, ayat pun dah pusing-pusing, panas sebab tu pening dan entri pun pusing-pusing. Esok-esok aku baca semula, dan betulkan kat mana yang pusing-pusing tu. :)

Selamat jumpa lagi. Untuk selingan, aku klip kan satu video klip dari nyanyian Taufik Batisah, Usah Lepaskan. Lagu ni lagu sedih, entah kenapa aku layan plak lagu ini. Huhu. Tiada kaitan dengan aku sekarang ini, sekadar hiburan semata-mata. Antara bibit-bibit yang layan baca lirik kat bawah. :). Gila la jiwang aku kali ini.

Usah biarku bersendirian
Usah biar hati mu di tawan
Usah biar diri ku disini
Seorang menunngu tanpa teman

Usah lepas genggaman tangan mu
Usah biar semua berlalu
Usah terlupa perasaan hati
Pertama kali kita bertemu
Usah lepaskan